
Beliau berkata Tengku Zafrul menjalankan tugas dengan sangat baik dan membantu menarik kemasukan pelaburan bernilai ratusan bilion ringgit untuk negara.
“Soal kedudukan menteri tidak terjejas. Kita mahukan beliau teruskan tugas kerana prestasinya sebagai menteri pelaburan baik, dan negara memerlukan sumbangan beliau,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di WTC.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Tengku Zafrul yang mengumumkan keluar Umno dan berhasrat menyertai PKR.
Jumaat lalu, Tengku Zafrul berkata, surat peletakan keahlian Umno serta jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi dan ketua Kota Raja telah dihantar kepada pucuk pimpinan parti.
Katanya, keputusan dibuat selepas bermuhasabah dan mengambil kira pelbagai faktor terutama keserasian dan kesesuaian.
Tindakan itu mengundang pelbagai reaksi daripada beberapa pemimpin Umno termasuk Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh menggesa Tengku Zafrul turut meletak jawatan sebagai menteri.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi berharap kuota tujuh menteri penuh dapat dikembalikan semula kepada mereka susulan tindakan Tengku Zafrul itu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata PKR belum membuat sebarang perbincangan bersama Umno mengenai perkara itu dan mahu memberikan ruang kepada Tengku Zafrul untuk melaksanakan ibadah haji terlebih dahulu.
“Jadi biar dulu dan tak payah banyak tafsiran yang kurang sihat. Orang ambil keputusan dan kita (perlu) hormat keputusan dia.
“Bagi PKR, tentulah kita kena bincang dengan rakan-rakan dan fikir sebaiknya,” katanya yang juga presiden PKR.
Dalam pada itu Anwar memaklumkan tiada keperluan mendesak untuk membuat rombakan Kabinet ketika ini.
Jelasnya, dua jawatan menteri yang bakal kosong selepas penyandangnya mengumumkan peletakan jawatan baru-baru ini, akan dipangku sementara oleh menteri lain.
“Tiada keperluan mendesak untuk rombakan sekarang. Dua menteri letak jawatan dan beri masa mereka untuk melakukan apa yang perlu dan menghabiskan cuti. Saya luluskan permohonan cutinya.
“Sekarang urusan kerajaan berjalan seperti biasa dan mesyuarat Kabinet akan dimaklumkan mengenai menteri yang akan pangku (tugas),” katanya.
Pada 28 Mei lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan mengesahkan Anwar sudah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi Ramli sebagai menteri ekonomi dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam.