3 universiti UK setuju beri diskaun yuran pelajar Mara

3 universiti UK setuju beri diskaun yuran pelajar Mara

Diskaun yuran tuisyen itu mampu jimat kos pengajian lebih RM100,000 setahun bagi seorang pelajar, kata Asyraf Wajdi Dusuki.

mara
Pada masa ini, terdapat 1,508 pelajar tajaan Mara melanjutkan pengajian di UK, menurut Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki.
PETALING JAYA:
Tiga universiti di United Kingdom bersetuju memberikan diskaun yuran tuisyen 10 hingga 20% kepada pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara), menurut Asyraf Wajdi Dusuki.

Pengerusi Mara itu berkata, diskaun hasil perbincangan pihaknya dengan pengurusan tertinggi universiti-universiti itu mampu menjimatkan kos pengajian lebih RM100,000 setahun bagi seorang pelajar.

Tiga universiti menawarkan diskaun itu terdiri daripada Universiti Warwick dan Universiti Birmingham, masing-masing memberikan diskaun 20%, manakala Universiti Edinburgh menawarkan diskaun 10%.

“Dari segi nilai, contohnya, Universiti Warwick (tawar) pengurangan hingga GBP6,000 setahun. Kalau program prasiswazah sekarang tiga tahun, maknanya bersamaan GBP18,000, lebih kurang sekitar RM110,000 setahun, menjimatkan penghantaran pelajar-pelajar Mara,” katanya pada sidang media di London pada Ahad.

Beliau berada di United Kingdom bagi mengadakan pertemuan strategik bersama pengurusan tertinggi dan profesor kanan terkemuka Universiti Cambridge serta beberapa universiti lain, lapor Bernama.

Pada masa ini terdapat 1,508 pelajar tajaan Mara melanjutkan pengajian di UK, menurutnya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, Cambridge University’s Trust menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Mara untuk berkongsi pembiayaan pelajar penyelidikan pascaijazah pada peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).

“InsyaAllah jika semua perincian dipersetuju, Mara boleh jimat hingga RM5 juta dengan penghantaran pelajar ke sini,” katanya.

Beliau menambah, inisiatif kerjasama ini adalah sebahagian agenda strategik Mara untuk memastikan anak-anak bangsa tidak hanya bersaing pada peringkat nasional, malah ‘mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas akademik dan profesional antarabangsa’.

Selain itu, katanya, Universiti Cambridge juga bersetuju menghantar delegasi ke Malaysia bagi mengadakan sesi libat urus bersama pihak Maktab Rendah Sains Mara International General Certification of Secondary Education (MRSM IGCSE) serta guru kaunselor.

Beliau berkata, usaha ini selaras dengan hasrat Mara membina laluan akademik khas bagi pelajar MRSM menempatkan diri di universiti terkemuka dunia.

Pertemuan itu juga akan membuka peluang kepada 9,987 warga pendidik di semua Institusi Pendidikan Mara, meliputi kolej kemahiran, universiti Mara dan MRSM untuk pertukaran kepakaran, tambahnya.

Menurut Asyraf Wajdi, para pendidik berpeluang menjalankan penyelidikan bersama serta meneroka peluang melanjutkan pengajian pada peringkat pascasiswazah dalam bidang strategik di Cambridge.

Bidang-bidang ini termasuk tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan (AI), sains sosial, teknologi kuantum, inovasi keusahawanan, serta pelbagai bidang baharu yang akan menjadi pemacu masa depan ekonomi dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.