Tok Mat kata Tengku Zafrul berhak pilih jalan sendiri

Tok Mat kata Tengku Zafrul berhak pilih jalan sendiri

Timbalan presiden Umno menegaskan parti tidak akan goyah dengan tindakannya keluar parti.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, berkata tindakan Tengku Zafrul Aziz keluar parti bukan mengejutkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata Tengku Zafrul Aziz berhak memilih jalan politik sendiri, selepas menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu umum keluar Umno dan berhasrat menyertai PKR.

Tegas menteri luar itu, Umno tidak akan goyah dengan tindakan beberapa individu yang cuba mengganggu usaha membina semula kekuatan parti dan mengembalikan kepercayaan rakyat.

Menyifatkan tindakan Tengku Zafrul bukan sesuatu mengejutkan, Mohamad berkata Umno bukan diangkat hanya kerana seorang tokoh, sebaliknya dibina atas kekuatan akar umbi.

“Umno tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu, orang datang dan pergi, itu lumrah dalam politik. Yang penting, perjuangan ini mesti diteruskan.

“Jangan biar tindakan satu dua orang mengganggu hala tuju kita. Semua orang berhak memilih jalan mereka dan kami pilih untuk terus bergerak ke hadapan, fokus membina semula kekuatan parti dan memperjuangkan nasib rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Presiden Umno Zahid Hamidi berharap kuota tujuh menteri penuh dapat dikembalikan semula kepada mereka susulan tindakan Tengku Zafrul keluar parti.

Beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata ini kerana parti itu diwakili tujuh menteri sebelum ini dan hanya tinggal enam selepas Tengku Zafrul meninggalkan Umno.

Zahid juga mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Tengku Zafrul dan ia telah dihantar kepada Setiausaha Kerja Umno Mohd Sumali Reduan.

Namun, beliau akan meminta pandangan penasihat undang-undang Umno, untuk melihat sama ada Tengku Zafrul telah melanggar perjanjian ditandatanganinya semasa menjadi calon BN pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.