
Timbalan presiden Umno itu berkata, Tengku Zafrul sebaliknya dilantik sebagai menteri pelaburan, perdagangan dan industri berikutan kapasitinya sebagai senator.
“Itu tidak termasuk dalam bidang lingkup perjanjian tersebut, kerana Tengku Zafrul tidak memenangi pilihan raya. Itu merupakan aku janji seorang wakil rakyat Adun atau Ahli Parlimen.
“Jika (calon) menang, kerusi tersebut kepunyaan parti, bukan kepunyaan individu tersebut dan individu yang menjadi calon dan menang, mereka menandatangani banyak perjanjian termasuk mengembalikan semula kos yang dikeluarkan parti.
“Tengku Zafrul tak menang. Beliau jadi menteri atas asas beliau seorang senator. Jadi saya tak nampaklah bahawa aku janji tersebut dapat dikuatkuasakan ke atas beliau,” katanya kepada pemberita, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi, yang mendesak parti mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Zafrul yang mengumumkan meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR.
Puad juga meminta parti menyemak semula aku janji ditandatangani Tengku Zafrul semasa menjadi calon BN pada PRU15, termasuk kemungkinan menuntut pampasan RM100 juta sekiranya tindakan Tengku Zafrul yang tewas di kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU lepas, dikira sebagai lompat parti.
Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli MKT UMNO dan ketua bahagian Kota Raja, selain turut keluar parti.
Ditanya sama ada peletakan jawatan itu memberi kesan terhadap Umno, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, Tengku Zafrul tidak memegang jawatan tinggi dalam parti, justeru tindakannya itu tidak membawa impak begitu besar.