Mahu terus berjuang, Umno Selangor enggan leka dengan ‘drama’ Tengku Zafrul

Mahu terus berjuang, Umno Selangor enggan leka dengan ‘drama’ Tengku Zafrul

Setiausahanya Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata keputusan Tengku Zafrul Aziz dihormati tetapi menegaskan perjuangan parti bukan hanya bersandarkan individu tertentu semata-mata.

Umno Selangor berkata tindakan Tengku Zafrul Aziz bukan perkara mengejutkan dan ia akan terus memperkukuh saf kepimpinan termasuk di bahagian Kota Raja.
PETALING JAYA:
Umno Selangor berazam untuk mara dengan semangat baharu dan tidak mahu leka dengan ‘drama’ individu tertentu, selepas Tengku Zafrul Aziz memutuskan untuk keluar parti dan menyertai PKR.

Setiausahanya, Abdul Mutalif Abdul Rahim, berkata mereka menghormati keputusan peribadi itu namun menegaskan perjuangan Umno tidak hanya bersandarkan kepada individu tertentu semata-mata.

“Kita tidak akan leka dengan drama individu, tetapi akan terus mara dengan semangat baharu demi agama, bangsa dan tanah air.

“Umno Selangor akan terus memperkukuh saf kepimpinan termasuk di bahagian Kota Raja.

“Kita kekal fokus terhadap misi memperjuangkan nasib rakyat,” katanya.

Zafrul, menteri Pelaburan, perdagangan dan industri semalam mengumumkan keluar Umno dan berhasrat menyertai PKR.

Beliau berkata surat peletakan keahlian Umno serta jawatan anggota majlis kerja tertinggi dan ketua Kota Raja telah dihantar kepada pucuk pimpinan parti.

Mengulas lanjut, Abdul Mutalif berkata pihaknya melihat bahawa tindakan Tengku Zafrul itu boleh mencemarkan semangat setiakawan dalam kerajaan perpaduan.

Katanya, ia juga boleh menimbulkan ketegangan dan wujud prasangka dalam kalangan akar umbi sekiranya ada mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti lain.

“Kami menyeru semua parti komponen kerajaan perpaduan agar lebih beretika dan bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian politik bersama,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun katanya, ia bukanlah satu perkara yang mengejutkan dan telah dijangkakan sebelum ini berdasarkan perkembangan dalaman semasa.

“Umno Selangor tidak akan berkompromi dalam soal kesetiaan dan keikhlasan terhadap perjuangan parti.

“Kita telah melalui pelbagai fasa cabaran dan pengkhianatan, namun tetap utuh kerana kekuatannya terletak pada akar umbi serta prinsip yang tidak boleh dijual beli,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.