Integriti, kualiti kunci kejayaan media, kata pengerusi FMT

Integriti, kualiti kunci kejayaan media, kata pengerusi FMT

Nelson Fernandez berkata integriti hanya dapat diraih dengan kebertanggungjawaban dan kejujuran.

FMT main page
Pengerusi Eksekutif FMT Nelson Fernandez berkata ‘teknologi tanpa kandungan tidak bermakna’.
PETALING JAYA:
Syarikat media perlu memberi tumpuan mengekalkan integriti dan membina pengaruh untuk terus relevan, kata Pengerusi Eksekutif FMT Nelson Fernandez.
Pengerusi Eksekutif FMT Nelson Fernandez.

Fernandez berkata, ia akan membantu syarikat terus bertahan dalam industri menyaksikan persaingan sengit dan penyusutan pendapatan.

Katanya, syarikat media berdepan cabaran besar susulan pertumbuhan pesat platform media sosial, yang telah mengambil sebahagian besar hasil pengiklanan.

Mereka perlu memastikan keutamaan terus diberi untuk kekal menghasilkan kandungan berkualiti.

“Kita boleh memiliki segala teknologi di dunia ini, namun jika kandungan kita tidak tepat, tiada siapa yang akan datang dan beri perhatian atau membaca dan menonton anda,” katanya dalam forum mengenai media dan pembangunan negara, diadakan di Cyberjaya pada Khamis.

Fernandez berkata, kunci meraih kepercayaan pembaca terletak pada sikap bertanggungjawab dan jujur terhadap kesilapan dilakukan.

“Saya tidak mendakwa bahawa FMT melakukan segala-galanya dengan betul. Tetapi, jika kami melakukan kesilapan, kami tidak teragak-agak memohon maaf dan mengakui kami silap,” katanya. “Kepercayaan adalah sesuatu yang perlu diraih.”

“Kami bukan berada dalam bidang ini untuk mengaut keuntungan kerana tidak banyak wang boleh diperoleh. Satu-satunya mata wang yang kami ada adalah pengaruh,” katanya.

Fernandez berkata, media sosial mempunyai kuasa mewujudkan sensasi sekelip mata. Namun, “teknologi tanpa kandungan tidak bermakna,” katanya. “Kami akan pastikan kandungan kami mempunyai keunikan Malaysia supaya ia menarik minat khalayak.”

Bekas pengerusi TV3 dan NSTP Khalid Ahmad.

Khalid Ahmad, bekas pengerusi TV3 dan NSTP, berkata syarikat media harus memanfaatkan alat media yang secara relatifnya murah untuk menyampaikan kandungan menarik.

Katanya, kreativiti diperlukan untuk syarikat agar menonjol dalam landskap media. “Akhirnya, penyampaian lah yang penting.”

Dasar media sosial

Ketua Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah Namanzee Harris menyeru kerajaan merangka draf dasar kebangsaan ke atas platform media sosial demi memastikan syarikat media tempatan tidak berada di bawah syarikat teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah Namanzee Harris.

Beliau merujuk sekatan TikTok ke atas 23 akaun media tempatan pada Februari (yang kemudian ditarik) selepas agensi berkenaan melaporkan serangan seksual melibatkan kanak-kanak.

Namanzee berkata, insiden terbabit mendedahkan kebergantungan syarikat media terhadap platform media sosial, yang mana mereka tiada kawalan.

“Idea bahawa perlu ke TikTok secara langsung untuk jawapan adalah amat membimbangkan. Kemampanan dalam sektor media hanya boleh dijamin menerusi dasar negara berstruktur,” katanya sambil merujuk negara seperti Amerika Syarikat, Indonesia, dan China telah mengambil langkah proaktif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.