Guru tadika disyaki dera budak ditahan

Guru tadika disyaki dera budak ditahan

Bapa mangsa yang membuat laporan polis semalam mendakwa terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala anaknya.

mahkamah selayang
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang untuk reman dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, kata Ketua Polis Gombak Noor Ariffin Mohamad Nasir. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang guru wanita di sebuah tadika swasta ditahan polis semalam selepas disyaki mencederakan kanak-kanak perempuan enam tahun.

Suspek berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan polis dari IPD Gombak, 2 petang semalam selepas bapa mangsa membuat laporan.

Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata kejadian dilaporkan berlaku pada pagi Isnin lalu.

Katanya, bapa mangsa turut mendakwa terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala anaknya.

“Mangsa memberitahu kecederaan terbabit berpunca daripada tindakan seorang guru yang mencederakannya dengan menggunakan pen semasa berada di tadika,” katanya dalam satu kenyataan semalam, menurut Berita Harian.

Menurutnya, mangsa dirujuk ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut (soft tissue injury) di bahagian kepala.

“Ketika penahanan suspek, polis turut merampas satu bekas berisi pen serta decoder kamera litar tertutup (CCTV) di tadika berkenaan bagi membantu siasatan.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang esok bagi tujuan permohonan reman. Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Muhammad Hakimie Razally di talian 011-3352585 atau Bilik Gerakan, IPD Gombak di talian 03-61262222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.