
Nazri berkata, tiada salahnya Tengku Zafrul umum keluar Umno dan berhasrat menyertai PKR kerana beliau hanya menzahirkan kebebasan untuk berpersatuan.
“Kenapa anda (Umno) mahu hentikan orang yang tidak mahu bersama kita? Biarkan sahaja,” katanya kepada FMT.
“Dan saya tidak fikir pun ia memberi kesan besar. Jadi, saya mahu nasihatkan ahli Umno tidak bimbang dengan ini dan fokus sahaja mencari seseorang boleh mengambil alih jawatan Kabinet lepas pengunduran Tengku Zafrul daripada parti.”
Nazri berkata, tindakan Tengku Zafrul keluar parti juga dijangka dan tidak menjejaskan parti, memandangkan beliau telah letak jawatan bendahari Umno Selangor, pada April tahun lalu.
“Sebenarnya, ia baik untuk Umno kerana beliau akan menamatkan tempoh menjadi senator, dan selepas itu saya pasti kekosongan (jawatan Kabinet) akan diberikan semula kepada Umno,” katanya.
Tengku Zafrul ketika ini adalah menteri pelaburan, perdagangan, dan industri.
Tengku Zafrul sering dilihat sebagai teknokrat walaupun bekas ketua pegawai eksekutif Kumpulan CIMB itu menjadi ahli Umno sejak 1997, dilantik menteri kewangan ketika era Muhyiddin Yassin pada Mac 2020, peranan sama dipegang ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.
Tengku Zafrul dilantik sebagai senator sejak 2020 ketika kali pertama dilantik memegang jawatan Kabinet. Tempoh senator dihadkan maksimum dua penggal, dengan setiap penggal selama tiga tahun.
Keanggotaannya dalam Umno hanya diketahui meluas menjelang PRU15 ketika menjadi calon di Parlimen Kuala Selangor, menyaksikannya tumpas.
Sejak Tengku Zafrul membuat pengumuman keluar Umno, Pemuda dan Wanita Umno menyerunya meletakkan jawatan sebagai menteri.