
Rony Ambrose Gobilee yang juga merupakan pengerusi AYOS 2025 berkata inisiatif itu, yang merangkumi satu siri platform dan acara serantau sepanjang tahun, bertujuan untuk menangani cabaran bersama dalam pembangunan modal insan.
“Satu kebimbangan khusus kami ialah dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“Walaupun kami sedar betapa pentingnya pembelajaran akademik, aspek amali sama penting untuk pembangunan ekonomi pada masa depan.
“Kami mahu konsep dan kaedah berfungsi bersama — konsepnya ialah pengetahuan, dan kaedahnya ialah kemahiran teknikal.
“Kedua-dua ini perlu maju secara selari; jika tidak, sebarang ketidakseimbangan boleh beri kesan negatif pada produktiviti dan pembangunan ekonomi negara,” katanya kepada FMT dalam satu temu bual.
AYOS 2025 ialah inisiatif yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia, melalui agensinya HRD Corp dengan sokongan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Sekretariat Asean.
Ia bertujuan untuk menangani jurang kemahiran dan meningkatkan kesediaan tenaga kerja di seluruh Asia Tenggara, terutama bagi negara yang ingin mengharungi kesan ekonomi daripada matlamat pendigitalan, automasi dan kemampanan.
Menurut HRD Corp, isu yang dibangkitkan semasa sesi perancangan tahun lepas dihimpun menjadi lima bidang tumpuan, yang akan ditangani dalam siri acara perdana sepanjang 2025.
Acara termasuk Simposium Pelaburan Pembangunan Modal Insan Asean (diadakan pada 28 Mei), Persidangan Pasaran Latihan Asean, Forum Menteri Tenaga Manusia Asean bagi Pembangunan Modal Insan, Persidangan TVET Asean, Minggu Latihan Kebangsaan dan Forum Kemahiran Global.
Setiap platform akan tumpu pada aspek tertentu: keterangkuman, pembiayaan, program latihan lanjutan, mengukuhkan kerjasama serantau dan mobiliti buruh serantau.
Rony berkata walaupun inisiatif itu tidak bertujuan untuk mengenakan penyelesaian bersifat satu saiz padan semua, ia menggalakkan negara-negara terbabit kenal pasti kemahiran yang paling relevan dengan ekonomi masing-masing, sama ada dalam pembuatan, pelancongan atau ekonomi hijau.
Beliau berkata momentum yang dibina pada 2025 harus diteruskan secara semula jadi, memandangkan negara-negara Asean mahukan tenaga-tenaga berbakat yang mahir dan cekap.
“Ini bukan tentang negara Asean bersaing antara satu sama lain. Kita boleh pergi lebih jauh jika saling melengkapi. Secara individu, sumber kita terhad, tetapi bersama-sama, kita boleh capai lebih banyak lagi,” katanya.
Menyesuaikan pekerja Asean dengan kemahiran masa depan
Rony menekankan potensi jangka panjang inisiatif itu, terutama apabila industri mula menggunakan kecerdasan buatan dan automasi.
Beliau berkata Asean harus menyesuaikan diri berbanding menentang perubahan, dan tumpu pada melengkapkan pekerja dengan kemahiran untuk masa depan, seperti AI dan celik digital.
“Jika kita tidak bergerak seiring kemajuan teknologi, kita akan ketinggalan. AI tidak akan menggantikan orang, tetapi ia akan menggantikan cara kita melakukan kerja. Kuncinya ialah sama ada kita belajar cara menggunakannya dengan berkesan.
“Sebagai contoh, kita sekian lama bergantung pada penulisan untuk menyatakan pengetahuan dan pendapat, tetapi proses ini boleh menjadi perlahan. Kebuntuan, sebagai contoh, penghalang produktiviti. Dengan AI, banyak masa boleh dijimatkan,” katanya.
Memandang ke hadapan, HRD Corp berharap untuk mengembangkan peranannya melangkaui sempadan negara, berkongsi pengalaman dengan rakan kongsi serantau.
Selepas 32 tahun memberi tumpuan pada pembangunan tenaga kerja domestik, agensi itu kini bekerjasama dengan negara Asean lain untuk memendekkan keluk pembelajaran mereka.
“Ilmu tidak ada nilai jika disimpan untuk diri sendiri. Kita tidak mahu jiran kita mengharungi 30 tahun lagi mencuba dan melakukan kesilapan; kita boleh membantu mereka capai keinginan dengan lebih cepat,” katanya.
Dengan menyatukan sumber dan kepakaran, Rony percaya negara Asean boleh membina tenaga kerja yang lebih berdaya tahan dan boleh menyesuaikan diri — bersedia menghadapi pertumbuhan serantau dan persaingan global.