Anwar, setiausaha pertahanan AS bincang tingkat kerjasama pertahanan

Anwar, setiausaha pertahanan AS bincang tingkat kerjasama pertahanan

Perkara itu dibincangkan perdana menteri ketika menerima kunjungan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth ketika lawatan beliau ke Singapura.

anwar ibrahim n Pete Hegseth
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth di luar Dialog Shangri-La ke-22 di Singapura hari ini. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth di Singapura semasa lawatan kerja singkat beliau ke republik itu.

Menerusi hantaran di Facebook, perdana menteri berkata antara perkara dibincang pada pertemuan itu ialah usaha meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan dan maritim selain menzahirkan penghargaan atas penglibatan AS di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) baru-baru ini.

Anwar berkata semasa lawatan kerja ke Singapura, beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Presiden Boeing Global, Brendan Nelson.

“Sewaktu kunjungan Nelson, kami menggunakan ruang itu bagi membincangkan keselamatan maritim, modenisasi aset, pelaburan dalam pendidikan selain kolaborasi dengan pemain industri tempatan terkait latihan, kerjasama strategik serta pembangunan ekosistem penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua pertemuan itu mampu melonjakkan lagi kepentingan Malaysia dalam bidang pertahanan di peringkat serantau dan juga global.

Terdahulu, perdana menteri tiba di Singapura bagi menghadiri Dialog Shangri-La ke-22 iaitu persidangan berprestij pertahanan dan keselamatan serantau di Asia Pasifik, dalam rangka lawatan kerjanya selama sehari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.