Zafrul ‘oportunis’, akan jadi ‘kudis’ dalam PKR, kata Puad

Zafrul ‘oportunis’, akan jadi ‘kudis’ dalam PKR, kata Puad

Ahli MKT Umno berkata, jika PKR terima Tengku Zafrul Aziz, ia umpama 'tikam Umno dari belakang'.

Ahli MKT Umno Puad Zarkashi berkata, antara kesilapan terbesar parti itu adalah ‘memanjakan’ Tengku Zafrul Aziz.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi menghentam Tengku Zafrul Aziz susulan keputusannya keluar parti, berkata menteri itu akan menjadi ‘kudis’ dalam PKR.

Menyifatkan Tengku Zafrul sebagai oportunis, Puad berkata, jika PKR menerima Tengku Zafrul, ia umpama ‘menikam Umno dari belakang’.

Puad berkata demikian selepas Tengku Zafrul umum keluar Umno, serta meletak semua jawatannya dalam parti, sekali gus menyatakan hasrat menyertai PKR.

“Umno jangan menangisi pemergiannya. Biarkan dia pergi. Dia mencari peluang kekosongan yang ditinggalkan oleh Rafizi (Ramli). Saya yakin dia akan menjadi kudis dalam PKR,” katanya kepada FMT.

Rafizi, yang kalah kepada Nurul Izzah Anwar dalam persaingan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti hujung minggu lepas, meletak jawatan sebagai menteri ekonomi pada Rabu.

Keputusan Tengku Zafrul itu mengesahkan khabar angin pada Februari bahawa beliau akan meninggalkan Umno dan menyertai PKR sebelum penggalnya sebagai senator tamat pada hujung tahun ini.

Tengku Zafrul berkata, beliau telah menyampaikan hasratnya untuk menyertai PKR kepada presiden parti, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan akan melalui prosedur biasa untuk memohon menjadi ahli PKR.

Puad yang juga Adun Rengit berkata, antara kesilapan terbesar Umno adalah ‘memanjakan’ Tengku Zafrul

“Dia menyertai Umno kerana disediakan permaidani merah untuk jadi calon, ketua bahagian, ahli MKT dan menteri,” tambahnya.

“Sepatutnya ia tidak berulang lagi. Umno mesti menghentikan tabiat membawa masuk individu yang tidak ada hujung pangkal (dengan) Umno.”

Tengku Zafrul sebelum ini ahli MKT Umno selain mengetuai bahagian Kota Raja.

Beliau pernah bertanding di kerusi Kuala Selangor pada PRU 2022 tetapi tewas kepada calon Amanah Dzulkefly Ahmad dalam pertembungan empat penjuru.

Pada Disember tahun lepas, timbul khabar angin bahawa beliau merancang menyertai PKR dalam usaha jelas untuk menjadi menteri besar Selangor seterusnya. Beliau kemudiannya menafikan sedang berbincang mengenai jawatan peringkat negeri.

Bagaimanapun, spekulasi semakin hangat selepas Anwar mengesahkan bahawa perbincangan sedang berjalan berhubung penyertaan Tengku Zafrul dalam parti itu.

Puad hari ini berkata, Tengku Zafrul sepatutnya dipecat lebih awal, apabila bocor berita mengenai perancangannya menyertai PKR.

“Lagi pun, dia sudah lama tidak hadir mesyuarat MKT,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.