PM mahu wartawan terus bersemangat bantu majukan negara

PM mahu wartawan terus bersemangat bantu majukan negara

Anwar Ibrahim berkata peranan itu termasuk tugas mendukung dan menegur dalam usaha membangunkan negeri dan negara.

wartawan media
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengiktiraf pengorbanan dan keperitan dilalui wartawan dalam memenuhi komitmen profesion sambil menggesa mereka terus bekerja dengan penuh semangat. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berharap wartawan di Malaysia dapat terus bersemangat dalam memainkan peranan mereka memajukan negara selain melaporkan pahit getir yang dihadapi rakyat kini.

Sambil menzahirkan penghargaan kepada pengamal media sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) semalam, Anwar turut menekankan peranan kritikal wartawan dalam menyampaikan berita dan maklumat kepada rakyat.

Beliau berkata, peranan itu termasuk tugas mendukung dan menegur dalam usaha membangunkan negeri dan negara.

“Saya ucapkan selamat kepada wartawan yang memikul tugas luar biasa. Mereka memainkan peranan kritikal dalam melaporkan pahit getir rakyat,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perjumpaan dengan pemimpin Pakatan Harapan Sabah, malam tadi.

Anwar turut mengiktiraf pengorbanan dan keperitan dilalui wartawan dalam memenuhi komitmen profesion mereka sambil menggesa wartawan terus bekerja dengan penuh semangat.

Hawana disambut pada 29 Mei setiap tahun dan untuk 2025, majlis kemuncak sambutan Hawana akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan perasmian oleh perdana menteri.

Hawana yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana akan menampilkan pelbagai acara termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei dan majlis prapelancaran bersama rakan strategik di Wisma Bernama pada 3 Jun serta forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.