
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, latihan berkaitan penting untuk memastikan golongan muda yang terlibat dalam sektor itu memenuhi piawaian, keperluan yang ditetapkan dan menjadi pekerja berkemahiran tinggi, sekali gus mengelak ketidakpadanan dalam industri.
Beliau juga berkata, agensi kerajaan negeri dan persekutuan perlu lebih fleksibel untuk membenarkan mereka masuk bidang walaupun tanpa sijil rasmi.
“Biar mereka jalani latihan dan pastikan latihan itu menepati piawaian dan juga keperluan khususnya dalam industri,” kata beliau ketika merasmikan majlis pelancaran projek Esteel Fasa Satu bernilai RM6.4 bilion di Kota Kinabalu, yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, lapor Bernama.
Anwar berkata, latihan yang perlu disediakan termasuk memberi peluang kepada anak muda Sabah untuk meningkatkan kemahiran di luar dari negeri itu sebelum kembali sebagai jurutera atau juruteknik profesional yang berkelayakan.
Beliau memberi syarikat minyak dan gas negara Petronas sebagai contoh pemain industri yang memberi latihan kemahiran penuh kepada pekerja terutamanya tertumpu dalam sektor itu.
“Jangan berkompromi … Fikirkan tentang masa depan pelajar dan mereka akan berkhidmat dengan lebih baik dalam industri,” katanya.