
Bekas pegawai Bank Negara (BNM), Muhamad Nazri Shaidon yang pernah bertugas di Jabatan Penguatkuasaan dan Perisikan Kewangan, berkata sekurang-kurangnya dua kesalahan utama yang sering dilakukan institusi kewangan iaitu gagal menjalankan penilaian wajar terhadap pelanggan (CDD) dan saringan sekatan (sanction screening) ketika penerimaan pelanggan.
Dua langkah itu perlu dilakukan institusi kewangan sebagai pelapor supaya penilaian risiko berkaitan aktiviti AML/CFT tidak berlaku, atau tindakan lanjut sekiranya transaksi mencurigakan dikesan antara pelanggan dan perniagaan atau organisasi.
“KYC (Kenali Pelanggan Anda) yang berkesan bukan sekadar proses rutin, sebaliknya memerlukan pengesahan aktif maklumat pelanggan bagi memastikan ketepatan dan selari dengan aktiviti perniagaan yang diisytiharkan,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.

“Pelanggan berisiko tinggi tidak boleh hanya melalui semakan biasa. Dalam kes ini, bank perlu melaksanakan Ujian Wajar Ditingkatkan (EDD) untuk mengukuhkan kawalan risiko, terutamanya jika pelanggan mempunyai profil atau transaksi mencurigakan.”
Seksyen 16 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Akta 613) menuntut bank menjalankan ketekunan wajar (due diligence) yang mana dalam pemindahan korporat, bank perlu mengesahkan identiti korporat melalui dokumen rasmi seperti daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, resolusi lembaga pengarah dan rekod berkaitan.
CDD ialah proses untuk mengenal pasti dan mengesahkan identiti pelanggan di institusi pelapor dan mereka haruslah berpuas hati bahawa pelanggan adalah seperti yang mereka katakan. Ia termasuk identiti pelanggan, identiti pemilik benefisial atau orang di sebalik transaksi; identiti orang yang menjalankan transaksi sekiranya transaksi itu dilakukan bagi pihak orang lain atau wakil yang dilantik oleh orang yang sah; serta tujuan urus niaga itu dilakukan.
‘Saringan sekatan’ pula terpakai kepada setiap warganegara Malaysia dan setiap badan korporat di negara ini.
Menurut Nazri, antara petunjuk pelanggan berisiko tinggi termasuk kedudukan sebagai Individu Terdedah Politik (PEP), struktur pemilikan yang rumit, penglibatan dalam industri berisiko tinggi seperti perjudian, senjata atau perkhidmatan kewangan luar pesisir, serta kaitan dengan negara berisiko AML/CFT atau di bawah sekatan antarabangsa.
“Pelanggan yang dikaitkan dengan laporan berita negatif juga boleh diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi. Dalam kes ini, EDD menjadi penting untuk memahami asal usul kekayaan, dana dan profil risiko semasa pelanggan,” katanya.
“Bank turut diwajibkan untuk mengenalpasti tujuan hubungan perniagaan dan memastikan transaksi konsisten dengan profil risiko pelanggan selain pemilik sebenar syarikat, iaitu individu yang mengawal 25% atau lebih kepentingan, mesti dikenal pasti dengan jelas.”
Menurutnya, jika wujud sebarang keraguan atau butiran tidak seragam dalam maklumat pelanggan atau urus niaga, institusi perlu segera mengemukakan Laporan Transaksi Meragukan (STR) kepada BNM.
“Walaupun peraturan di bawah Akta 613 sudah tersedia, pematuhan bukan sekadar mengikut prosedur tetapi memerlukan sistem yang kukuh, latihan kakitangan yang cekap serta komitmen terhadap integriti kewangan,” katanya.
Pada 28 Mei lalu, BNM mengenakan penalti monetari pentadbiran berjumlah lebih RM4.95 juta ke atas empat institusi perbankan — Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), HSBC Bank Malaysia Bhd, HSBC Amanah Malaysia Bhd dan Maybank Islamic Bhd.
Menurut bank pusat, penalti RM493,500 dikenakan ke atas BPMB kerana gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan serta Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar (AML/CFT & TFS).
HSBC Bank Malaysia dikenakan penalti berjumlah RM3.26 juta atas ketidakpatuhan terhadap keperluan usaha wajar pelanggan dan saringan sekatan seperti yang ditetapkan dalam Akta Perkhidmatan Kewangan dan garis panduan AML/CFT & TFS.
Penalti dikenakan ke atas HSBC Amanah Malaysia Bhd kerana gagal mematuhi ketetapan undang-undang yang sama, termasuk Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.
Maybank Islamic dikenakan penalti sebanyak RM1.2 juta pada 3 Mac 2025 atas ketidakpatuhan terhadap Seksyen 155(3)(b) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.
Penalti itu juga berpunca daripada ketidakpatuhan bank berkenaan terhadap Dokumen Dasar Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat.