
ASTANA (Kazakhstan): Keputusan sebuah mahkamah Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mungkin boleh menangguhkan pelaksanaan dasar tarif Donald Trump ke atas negara asing, tetapi tidak dapat menghentikan sepenuhnya, kata bekas pengarah urusan Bank Dunia, Bertrand Badre.
Beliau berkata, walaupun mahkamah menemui kelemahan dalam prosedur digunakan untuk mengenakan tarif tertentu, tetapi ia tidak menganggap tarif itu menyalahi undang-undang.
“(Keputusan mahkamah) mungkin memperlahankan proses tarif, tetapi saya tidak fikir ia akan mengubah trajektori itu.
“Tambahan pula, mahkamah tidak mengatakan keputusan itu buruk. Cara mereka membuat keputusan itulah yang menjadi isu,” kata Badre kepada FMT di luar Forum Antarabangsa Astana 2025.
Beliau berkata, kerajaan AS mungkin mencari kaedah lain untuk melaksanakan tarif itu.
Badre merupakan ahli panel perbincangan bertajuk “Perdagangan sebagai senjata: Masa depan tataurus ekonomi negara”, di mana pakar membincangkan peningkatan penggunaan dasar perdagangan sebagai alat geopolitik.
Mereka menekankan bagaimana tarif tinggi, sekatan ekonomi dan perdagangan strategik membentuk semula dinamik ekonomi global.
Badre yang juga ketua pegawai eksekutif BlueOrange Sustainable Capital, berkata kes itu mungkin dibawa ke Mahkamah Agung AS yang berpotensi mencetuskan ketidakpastian lebih besar.
“(Pengimport pasti) sudah membayar sesuatu (dalam bentuk tarif), barangan dijual di pasar raya dengan harga lebih tinggi, jadi sukar untuk menerbalikkan seluruh proses itu.”
Katanya, situasi itu amat mencabar bagi perniagaan tidak biasa dengan kerumitan sistem perundangan AS.
“Kebanyakan ahli perniagaan tidak biasa dengan sistem kehakiman AS.”
Badre turut menggesa negara Asean berunding dengan AS secara kolektif, bukannya secara berasingan.
“Jika Vietnam berunding sendiri, kemudian Malaysia, Singapura dan lain-lain, itu tidak begitu baik. Anda lebih kuat jika (berunding) bersama. Bagi saya, itu titik penting.”
Beliau memberi amaran keputusan mahkamah AS itu akan merumitkan perbincangan perdagangan sedang diadakan.
“Ia pasti merumitkan proses rundingan. Terdapat risiko ia tidak akan berjaya. Tetapi, anda masih dalam proses rundingan. Jadi, ia akan menjadikan rundingan lebih rumit.”

Dalam forum itu, Timur Turlov, ketua pegawai eksekutif Freedom Corp, memberi amaran perang perdagangan berpanjangan boleh menghakis kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan ekonomi utama.
“Ia belum terganggu kerana ia dibina dari masa ke masa. Tetapi, jika kita tidak mempercayai keyakinan itu cukup lama, ia akan menjadi sukar untuk dibina semula,” katanya yang baru-baru ini diiktiraf individu paling kaya di Kazakhstan oleh Forbes’ World Billionaires.
Beliau menyifatkan kepercayaan dan keyakinan dalam hubungan perdagangan sebagai “khazanah besar” negara maju.
“Kami melihat reaksi pasaran, di mana pasaran saham naik turun dan cuba bertindak balas terhadap gaya baharu dasar global ini, tetapi jual beli kehilangan nilai (berniaga).”
Daniel Runde, naib presiden kanan dan pengarah Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), berkata Trump kekal popular dalam kalangan pengundi AS, terutama pendiriannya mengenai penghijrahan.
“Sekarang dia kekal presiden yang popular. Tetapi, mari kita lihat bagaimana keadaannya dalam enam bulan jika harga Mercedes Benz dan lain-lain naik. Mari kita lihat bagaimana reaksi AS,” katanya dalam forum itu.