
Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh selepas mereka mengaku bersalah, lapor Bernama.
Kedua-dua mereka yang tidak diwakili peguam juga diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Kedua-duanya dituduh cuba melakukan persetubuhan haram sedangkan mereka bukan suami isteri di sebuah rumah di Sungai Petai dalam daerah Alor Gajah pada 9 malam, 28 Feb lepas.
Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum 36 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Melaka Atras Mohamad Zin yang dibantu pendakwa syarie Radzwan Abdullah memohon hukuman maksimum berbentuk pengajaran agar menjadi teladan kepada kedua-dua tertuduh dan umat Islam lain.
Ketika rayuan, guru wanita itu memohon agar hukuman diringankan kerana perlu menanggung seorang anak lelaki berusia empat tahun dan ibu bapanya yang tidak sihat.
Lelaki itu turut merayu hukuman ringan atas faktor sukar bekerja selepas kes itu menjadi tular.
“Saya sanggup mengambil tanggungjawab terhadap beliau (wanita itu) malah saya juga telah melakukan solat taubat,” katanya.
Tular di media sosial sebelum ini isu seorang guru wanita didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan suami orang, yang dikenali sebagai ‘Abang Wiring’, selepas terbongkarnya beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp yang berunsur lucah dan tidak senonoh antara mereka.
Beberapa video lain membabitkan wanita itu turut tular, menunjukkan beliau ‘disoal siasat’ oleh isteri lelaki tersebut dan beberapa individu lain.