29 terselamat bas ekspres terbakar di PLUS

29 terselamat bas ekspres terbakar di PLUS

Ketika kejadian bas dalam perjalanan dari Johor ke Pulau Pinang.

bas terbakar di ipoh
Bas ekspres musnah terbakar dalam kemalangan di KM 406 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Kamunting, malam tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seramai 29 penumpang termasuk pemandu bas ekspres terselamat apabila kenderaan dinaiki mereka musnah terbakar dalam kemalangan dengan motosikal di KM 406 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Kamunting, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata kejadian berlaku kira-kira 9.16 malam.

Difahamkan, ketika kejadian bas itu dalam perjalanan dari Johor ke Pulau Pinang.

“Kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres telah menyeret sebuah motosikal yang terbabas ketika itu dan menyebabkan kebakaran bas berkenaan, anggaran kemusnahan terbakar 90%.

“Seramai 29 orang penumpang dan juga pemandu di dalam bas berjaya dikeluarkan dengan selamat sebelum ketibaan bomba,” katanya menurut Astro Awani.

Beliau berkata, seorang mangsa iaitu penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS.

Katanya, seramai 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dan Taiping mengawal kebakaran sehingga berjaya dipadam sepenuhnya.

“Operasi tamat 10.33 malam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.