
Ahmad Razman Abdul Latiff dari Putra Business School menjelaskan bahawa kesinambungan sesuatu dasar bergantung pada keberkesanannya.
“Jika polisi dan dasar yang dilaksanakan terbukti berkesan, tidak ada sebab untuk menghentikan walaupun jawatan menteri ekonomi digantikan oleh orang lain,” katanya kepada FMT.
Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri ekonomi semalam, berikutan beliau tidak lagi memegang jawatan timbalan presiden PKR rentetan pemilihan parti baru-baru ini.
Semalam, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia menggesa kerajaan mengekalkan kesinambungan dasar dan komited terhadap reformasi ekonomi jangka panjang.
Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035, Inisiatif Pendapatan Rakyat, Padu, dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura antara beberapa perkara yang digerakkan ketika Rafizi memegang portfolio ekonomi.
Razman berpendapat dasar ekonomi termasuk Padu dan bantuan sosial tidak terkesan akibat peletakan jawatan Rafizi.
“Semua polisi dan dasar ini adalah keputusan yang dibuat secara konsensus dan bukannya oleh seseorang individu sahaja,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata lantikan menteri ekonomi baharu perlu dilakukan segera untuk pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 di Parlimen, yang dijangka pada suku ketiga 2025.
Semalam, seorang pakar ekonomi menyarankan jawatan menteri ekonomi diisi oleh seorang teknokrat, kerana individu berkenaan seharusnya dapat memberikan wawasan ekonomi secara teknikal memandangkan kementeriannya bertanggungjawab merangka dasar.
Geoffrey Williams berkata individu berkenaan perlu pandai kenal pasti keutamaan reformasi yang strategik dan mendorong keperluan untuk melakukan pembaharuan, serta mengawal selia reka bentuk dasar berkaitan dan memastikan ia boleh dilaksanakan.
Sementara itu, Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah berkata ketiadaan Rafizi boleh menimbulkan persoalan terhadap momentum pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang telah digerakkan.
“Kehilangan Rafizi yang merupakan pendorong utama di sebalik reformasi ini mungkin memerlukan pemimpin baru untuk mengambil alih dan memastikan momentum tidak terjejas,” katanya.