SPRM sita aset hampir RM32 juta milik Tan Sri

SPRM sita aset hampir RM32 juta milik Tan Sri

Sitaan itu melibatkan VVIP yang turut memegang konsesi lebuh raya susulan siasatan penyelewengan dana sukuk.

macc sprm
SPRM turut sita 217 unit jam tangan mewah pelbagai jenama dianggar kira-kira RM5 juta, 27 unit tas tangan lebih RM1 juta, dan barang kemas lebih RM4 juta.
PETALING JAYA:
Aset hampir RM32 juta milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini susulan siasatan penyelewengan dana sukuk.

Utusan Malaysia memetik sumber, berkata dana berkenaan bagi pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Menurut laporan, sitaan itu melibatkan tas tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai selain kediaman mewah di ibu negara.

Sumber tersebut berkata, penggeledahan oleh Bahagian Siasatan SPRM di dua kediaman milik individu itu turut menemui sebuah stor simpanan pelbagai jenis minuman beralkohol mewah dari sebuah kediaman, dianggar bernilai sekitar RM3 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Dalam tindakan yang dijalankan itu juga, SPRM turut membuat sitaan ke atas sebuah unit kediaman mewah terletak di ibu negara dianggarkan bernilai sekitar RM12 juta yang dipercayai milik individu berkenaan,” menurut Utusan Malaysia memetik sumber.

Turut disita 217 unit jam tangan mewah pelbagai jenama dianggar kira-kira RM5 juta, 27 unit tas tangan lebih RM1 juta, dan barang kemas lebih RM4 juta.

“Menerusi penggeledahan itu juga, SPRM turut menyita sembilan unit kenderaan mewah seperti Bentley, Mercedes-Benz, dan Range Rover bernilai hampir RM7 juta,” katanya.

Semua barang dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.