Saya belum fikir rombakan Kabinet, kata Anwar

Saya belum fikir rombakan Kabinet, kata Anwar

Ia susulan peletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada Jemaah Menteri semalam.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak boleh menggantikan anggota Jemaah Menteri ketika mereka sedang bercuti.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata beliau belum memikirkan rombakan Kabinet susulan pengunduran dua menteri semalam.

“Belum. Belum (fikir rombakan). Mereka masih bercuti. Kita tak boleh ganti orang yang sedang bercuti,” katanya selepas perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini.

Walaupun Anwar tidak menjelaskan siapa yang dimaksudkan “mereka”, Pejabat Perdana Menteri semalam mengesahkan Anwar sudah menerima surat pengunduran Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad – serta meluluskan permohonan cuti mereka.

Rafizi mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri ekonomi berkuat kuasa 17 Jun, manakala Nik Nazmi sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam mulai 4 Julai nanti selepas kalah dalam pemilihan PKR minggu lalu.

Sebelum ini, Rafizi dilaporkan berkata, pemimpin parti yang kalah dalam pemilihan dalaman perlu memberi laluan kepada pemenang yang diberikan mandat baharu kerana ia amalan di negara yang berpegang kepada prinsip demokrasi.

Rafizi gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR selepas tewas kepada anak sulung Anwar, Nurul Izzah, manakala Nik Nazmi gagal mengekalkan jawatan naib presidennya.

Susulan peletakan jawatan mereka, penganalisis politik berpendapat Anwar perlu merombak Kabinetnya untuk memastikan beliau mempunyai pasukan yang komited sepenuhnya bagi memimpin negara mengharungi baki penggal ini.

Semalam, Bernama memetik Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia sebagai berkata, ada kemungkinan menteri atau timbalan menteri lain daripada “pasukan Rafizi” dalam PKR akan mengambil pendekatan sama melepaskan jawatan mereka.

Katanya, Anwar juga perlu mengambil kira kedudukan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz yang akan tamat penggal senatornya Disember ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.