
Shahril berkata, Rafizi masih mempunyai nilai tersendiri dalam usaha kempen PKR, biarpun tewas dalam pemilihan jawatan nombor dua parti kepada Nurul Izzah Anwar baru-baru ini.
“Rafizi masih boleh memainkan peranan sebagai salah seorang tukang kempen dalam PKR yang menyumbang kepada perjuangan parti dan tidak dilihat melarikan diri,” katanya dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap yang dirakam sebelum Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya.
Sebelum pemilihan parti, Rafizi menyatakan bahawa beliau akan meletak jawatan sebagai menteri ekonomi dan kembali menjadi Ahli Parlimen biasa sekiranya tewas dalam pemilihan timbalan presiden.
Shahril berkata, tindakan Rafizi meletak jawatan tidak harus dilihat sebagai tanda merajuk atau tidak lagi berfungsi, sebaliknya satu langkah untuk terus menyumbang dari luar kerajaan.
“Beliau masih boleh mewujudkan gerakan atau gelombang. Atas sebab itu saya rasa penting untuk beliau fikirkan pilihan itu.
“Berbeza dengan teknokrat seperti Senator Tengku Zafrul Aziz (menteri pelaburan, perdagangan dan industri) atau Senator Amir Hamzah Azizan (menteri kewangan II) yang tidak pernah memegang jawatan kanan parti, Rafizi mempunyai kekuatan politik sebenar,” katanya.
Shahril turut menolak dakwaan penganalisis bahawa keputusan pemilihan PKR baru-baru ini mencerminkan kemenangan calon mesra akar umbi berbanding mereka yang dilihat sebagai elit.
“Hanya kerana seseorang itu intelektual atau idea yang baik dalam pembinaan dasar, tidak bermakna mereka tidak mesra akar umbi. Ada yang mempunyai kedua-duanya – kekuatan intelek dan hubungan dengan rakyat,” katanya yang memberi contoh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad.
“Terdapat dakwaan bahawa Nik Nazmi tidak berkhidmat dengan baik di Setiawangsa. Kita tidak tahu. Kita bukan ahli PKR di sana. Tapi saya fikir pandangan itu terlalu malas.”
Nurul Izzah perlu buktikan kemampuannya
Sementara itu, pengacara bersama, Khairy Jamaluddin, berkata kemenangan besar Nurul Izzah mencetuskan semula isu nepotisme dalam PKR, memandangkan beliau merupakan anak kepada presiden parti merangkap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Khairy yang juga bekas ketua pemuda Umno berkata, beban kini terletak di bahu Nurul Izzah untuk membuktikan bahawa kemenangan itu atas merit, bukan kerana hubungan kekeluargaan, dan ujian sebenar adalah pada PRU16 nanti.
“Sekarang ini beliau perlu buktikan bukan sahaja kepada penyokong tetapi kepada pihak yang skeptikal bahawa beliau mampu menyamai atau mengatasi Rafizi dalam aspek tertentu.
“Jika tidak, persepsi itu akan kekal dan boleh membawa kesan jangka panjang yang serius,” katanya.