
Ketua Whip Takiyuddin Hassan berkata peguam negara selaku penasihat undang-undang kepada kerajaan, dalam kapasiti menjaga Perlembagaan, perlu campur tangan.
Takiyuddin, yang juga seorang peguam, menggesa peguam negara campur tangan sebagai ‘pencelah’ mahupun ‘sahabat mahkamah’ dalam prosiding permohonan tersebut.
Tegasnya, peguam negara ada tanggungjawab untuk meneliti kesahihan permohonan yang dibuat oleh perdana menteri dari segi undang-undang dan perlembagaan, dan menasihati secara rasmi mengenai perkara itu.
Takiyuddin juga berkata peguam negara ada tanggungjawab untuk mengelak duluan kehakiman yang boleh melemahkan prinsip kebertanggungjawaban pemimpin politik.
Semalam, Rafique Rashid Ali, yang mewakili bekas penyelidik, Yusoff Rawther, memaklumkan Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan 3 Jun untuk pihak-pihak berkenaan membuat penghujahan lisan bagi permohonan itu.
Hakim perlu menentukan sama ada perkara tersebut melepasi ambang keperluan untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Anwar mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman difail Yusoff, empat tahun lalu.
Juga antara lain beliau memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi wajib menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada saman itu penyalahgunaan proses atau ancaman kepada kepentingan awam, dan jika ya, sama ada ia perlu digantung atau dibatalkan ‘demi mengekalkan tadbir urus berperlembagaan’.
Saman itu berkaitan kejadian didakwa berlaku sebelum Anwar memegang jawatan perdana menteri pada 24 November 2022.
Yusoff, cucu kepada pejuang pengguna Pulau Pinang, SM Mohamed Idris, memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021, mendakwa beliau diserang di rumah presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.
Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, serta faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Anwar menafikan dakwaan itu dan memfailkan saman balas.