PGA rampas 22.5kg bunga ganja lebih RM800,000

PGA rampas 22.5kg bunga ganja lebih RM800,000

Dadah itu dirampas dalam sebuah kereta yang tinggalkan suspek di tepi jalan selepas dikejar pihak berkuasa.

NIK ROS AZHAN
Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. (Gambar Bernama)
PASIR MAS:
Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 22.5kg mampatan bunga ganja jenis Royal Cannabis dianggar bernilai lebih RM800,000 dalam operasi di Banggol Kulim, padi tadi.

Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata mampatan bunga ganja itu dirampas hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback.

“Terdahulu, sepasukan anggota PGA yang melakukan rondaan ternampak kereta itu yang dipandu seorang lelaki kira-kira 6 pagi tadi.

“Anggota PGA mengejar kereta itu menyebabkan pemandunya memecut laju untuk mengelak ditahan sebelum meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan dalam keadaan enjin masih hidup,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pemeriksaan di dalam kereta itu menemukan tiga bungkusan dengan setiap bungkusan mengandungi 45 peket berisi mampatan bunga ganja.

“Kita percaya penyeludup menggunakan paket seperti kotak kain pelikat bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata suspek kes itu gagal dikesan dan difahamkan setiap 1kg mampatan bunga ganja itu dianggar bernilai RM36,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.