Persatuan Pasaran Persendirian Asean dimuktamad akhir tahun

Persatuan Pasaran Persendirian Asean dimuktamad akhir tahun

Pengerusi Asean-BAC Malaysia Nazir Razak berkata jawatankuasa pro tem terdiri ahli dari Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia sedang berusaha ke arah penubuhan persatuan itu.

Nazir Razak Asean
Pengerusi Asean-BAC Malaysia Nazir Razak berkata Persatuan Pasaran Persendirian Asean boleh membantu mengatasi isu perbezaan dalam pasaran dan memacu pembangunan industri di rantau ini.
KUALA LUMPUR:
Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-BAC) dalam proses menubuhkan Persatuan Pasaran Persendirian Asean yang dijangka dimuktamadkan akhir tahun ini.

Pengerusi Asean-BAC Malaysia, Nazir Razak, berkata jawatankuasa pro tem terdiri ahli dari Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia sedang berusaha ke arah penubuhan secara rasmi persatuan itu.

“Ideanya mewujudkan satu platform menasihati kerajaan memperkukuh dasar bagi membangunkan industri pasaran persendirian, termasuk modal teroka dan ekuiti persendirian di Asean,” katanya selepas berucap pada Forum Perniagaan Asean 2025 di sini.

Beliau berkata, persatuan berkenaan boleh membantu mengatasi isu perbezaan dalam pasaran dan memacu pembangunan industri itu di rantau ini.

“Kami menganggarkan modal sehingga USD60 bilion (USD1 = RM4.26) perlu disalurkan kepada ekuiti persendirian Asean dan dana teroka, tetapi pembaharuan tertentu diperlukan untuk mengurangkan perbezaan dalam pasaran dan menambah baik keadaan untuk pengewangan pelaburan.”

Menurutnya, majlis itu telah menyiapkan laporan kajian bersama McKinsey yang menunjukkan pasaran persendirian Asean belum berkembang sepenuhnya, dianggarkan hanya 0.5% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding purata penanda aras global 1.5% daripada KDNK.

“Laporan itu menunjukkan industri pasaran persendirian amat penting kepada ekonomi, tetapi masih terlalu kecil di Asean.”

Katanya, Asean berada pada detik penting dan berharap rantau ini dapat bergerak ke hadapan dengan integrasi ekonomi.

“Tahun ini, di Asean-BAC, keutamaan dan aktiviti kami dirangka dengan teliti untuk memahami peluang dan cabaran semasa dihadapi.

“Kami berusaha memudah cara dialog, menjalin kerjasama dan mengemukakan cadangan boleh dilaksanakan untuk memperkasakan perniagaan Asean bagi memanfaatkan kerjasama antara rantau yang berkembang serta menerajui dalam menerima pakai teknologi terkini dan amalan mampan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.