
Tujuh warga Myanmar berusia 20 hingga 42 tahun itu dipercayai baru diambil dari sebuah pangkalan haram di kawasan sempadan dekat Sungai Golok.
Ketua Polis Tumpat, Mohd Khairi Shafie, berkata tujuh warga asing itu menaiki Proton Perdana dipandu warga tempatan berusia 34 tahun berkenaan.
Tetapi, beliau berkata, pergerakan mereka berjaya dikesan sebelum Agensi Penguatkuasaan Maritim mengekori kenderaan itu yang menghala ke Kota Bharu.
Menurutnya, kereta sarat penumpang itu terbabas ketika cuba melarikan diri dan melanggar longkang konkrit.
“Semuanya cedera dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, manakala pemandu meninggal dunia ketika rawatan.
“Kita percaya tujuh Pati itu ingin dibawa ke suatu tempat dengan menghala ke Kota Bharu selepas diambil dari pangkalan haram di sini,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, kemalangan itu disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala tujuh Pati masih dirawat itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tumpat atau menghubungi pegawai penyiasat trafik Muhammad Luqman Al-Hakim Awang di talian 09-7257222.