Ijazah sarjana tak jamin gaji tinggi, kata kumpulan PKS

Ijazah sarjana tak jamin gaji tinggi, kata kumpulan PKS

Presiden SME Malaysia, Chin Chee Seong berkata pasaran kerja Malaysia belum capai tahap perlukan ramai tenaga kerja dengan kelayakan ijazah sarjana.

graduation
Ketakpadanan kerja dalam pasaran buruh memaksa ramai pemegang ijazah sarjana menerima pekerjaan yang memerlukan kelayakan lebih rendah, dan itu bermakna gaji yang lebih rendah. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Persepsi bahawa pemegang ijazah sarjana meraih gaji rendah berbanding kelayakan akademik mereka hanya benar dalam kes tertentu, kata Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia), Chin Chee Seong.

Beliau berkata isu tersebut berpunca daripada ketakpadanan kerja dalam pasaran buruh negara.

“Peranan yang secara spesifik memerlukan kelayakan lepasan siswazah masih terhad, menyebabkan ramai graduan ijazah sarjana menerima pekerjaan bergaji rendah yang sepatutnya diisi pemegang ijazah sarjana muda,” katanya kepada FMT.

Pandangan sama turut dikongsi Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman, yang menyatakan bahawa keperluan sebahagian kelayakan lepasan ijazah adalah terhad.

Chin Chee Seong
Chin Chee Seong.

Chin berkata pasaran kerja Malaysia belum mencapai tahap yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkelayakan ijazah sarjana.

“Majikan bukannya enggan menawarkan gaji lebih tinggi. Persoalannya, sama ada ia perlu atau wajar,” katanya.

Chin berkata, pihaknya telah menggesa kerajaan supaya meningkatkan pelaburan dalam industri berasaskan teknologi dan menggalakkan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih ke teknologi terkini.

Katanya, apabila industri beralih kepada teknologi canggih, permintaan terhadap kemahiran teknikal khusus yang biasanya dimiliki graduan lepasan siswazah akan meningkat, menjadikan majikan sanggup menawarkan gaji yang tinggi.

Beliau memberi contoh, dalam sektor tertentu PKS seperti teknologi maklumat (IT) sudah menawarkan gaji permulaan yang tinggi, dengan graduan baharu boleh memperoleh antara RM4,000 hingga RM4,500, bergantung kepada jawatan.

Kata Chin, pemegang ijazah sarjana dalam bidang seperti sains komputer berkemungkinan besar menerima gaji lebih tinggi.

Bagaimanapun, bidang seperti sumber manusia atau pentadbiran, mungkin tidak dapat kelebihan yang sama kerana jawatan itu hanya memerlukan pemegang ijazah sarjana muda.

Dalam laporan terbaru Institut Penyelidikan Permodalan Nasional Bhd (PNB) menunjukkan gaji sebenar pemegang ijazah sarjana merosot sebanyak 10% dalam tempoh sedekad sehingga 2022, berbanding penurunan 4% dalam dekad sebelumnya.

Sebaliknya, pemegang ijazah sarjana muda mencatat sedikit peningkatan dalam pertumbuhan gaji dalam tempoh sama.

Syed Hussain Syed Husman
Syed Hussain Syed Husman.

Syed Hussain berkata antara faktor seperti guna tenaga tak penuh dan lambakan graduan juga penyumbang kepada stagnasi gaji.

“Tanpa peningkatan produktiviti dan prestasi perniagaan, majikan tidak akan menaikkan gaji hanya kerana seorang pekerja mempunyai kelayakan lebih tinggi,” katanya kepada FMT.

Syed Hussain berkata ijazah sarjana masih bernilai dalam bidang khusus seperti sains data dan kejuruteraan, tetapi cabaran gaji akan berterusan jika kelayakan tersebut tidak selari dengan keperluan industri.

Beliau menggesa kerjasama lebih erat antara ahli akademik dan industri bagi memastikan program lepasan siswazah diselaraskan dengan kehendak pasaran.

Pada tahun lalu, Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib berkata kadar guna tenaga tak penuh berkaitan kemahiran berada pada tahap 37% pada suku kedua 2024.

Katanya, kadar pengangguran belia kekal pada 10.6% selama empat bulan berturut-turut hingga Februari, membabitkan seramai 306,600 orang — yang turut dikaitkan dengan ketakpadanan kemahiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.