Exco P Pinang PKR tak ikut jejak Rafizi berundur

Exco P Pinang PKR tak ikut jejak Rafizi berundur

Fahmi Zainol berkata beliau akan berkhidmat sehingga habis penggal walaupun kalah pemilihan cabang dan pusat pada pemilihan PKR.

Fahmi Zainol
Fahmi Zainol tewas dalam pemilihan ketua cabang PKR Jelutong dan gagal menempatkan diri dalam Majlis Pimpinan Pusat. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Seorang pemimpin PKR Pulau Pinang yang sehaluan dengan Rafizi Ramli berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan exco, mengikut jejak langkah bekas timbalan presiden parti itu.

Naib Ketua PKR Pulau Pinang Fahmi Zainol berkata beliau tiada rancangan untuk meletak jawatan seperti Rafizi yang mengumumkan pengunduran susulan kekalahannya pada pemilihan PKR peringkat pusat pada 23 Mei lalu.

“Apabila saya dilantik… saya mesti menamatkan tempoh perkhidmatan,” kata exco agroteknologi, keterjaminan makanan dan pembangunan koperasi itu kepada pemberita.

Fahmi yang juga Adun Pantai Jerejak tewas dalam pemilihan ketua cabang PKR Jelutong dan gagal menempatkan diri dalam Majlis Pimpinan Pusat.

Beliau antara pemimpin berada dalam senarai ‘cai’ yang didedahkan Rafizi menjelang pemilihan peringkat pusat.

Fahmi, salah seorang daripada dua ahli exco Pulau Pinang dari PKR. Seorang lagi ialah Timbalan Ketua Menteri I, Mohamad Abdul Hamid.

Rafizi yang tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan jawatan timbalan presiden PKR minggu lalu, meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi semalam.

Ahli Parlimen Pandan dua penggal itu berkata tidak wajar jawatan Kabinet disandang oleh seseorang yang bukan pemimpin parti.

Peletakan jawatan Rafizi diikuti oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi, yang juga ahli Parlimen dua penggal, gagal mempertahankan jawatannya sebagai ketua PKR Setiawangsa serta naib presiden dalam pemilihan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.