
Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata, BN-PH tidak patut mengetengahkan Bung sebagai calon ketua menteri kerana kes mahkamah yang dihadapi ketua BN Sabah itu menjadikan beliau ‘liabiliti’.
Minggu lepas, Bung dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad, gagal memohon semakan keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri atas tuduhan rasuah dan bersubahat berhubung pelaburan Felcra RM150 juta.
Fauzi berkata, BN-PH perlu diterajui oleh seseorang yang dilihat umum sebagai bebas rasuah, dan memiliki reputasi yang melangkaui batasan etnik serta agama.
Beliau mencadangkan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor sebagai calon paling sesuai untuk peranan tersebut sekiranya BN-PH dapat memeterai perjanjian pilihan raya dengan gabungan parti tempatan itu.
“Beliau boleh diterima oleh PH dan, walaupun satu kompromi, merupakan seorang tokoh yang mampu meredakan ketegangan antara dua kem Umno yang diterajui Bung dan (Timbalan Ketua Umno Sabah) Abdul Rahman Dahlan.
“Mereka perlukan individu yang kewibawaannya diterima oleh seluruh rakyat Sabah merentasi perbezaan etnik dan agama, serta khususnya berupaya menyatupadukan masyarakat Islam dan komuniti peribumi bukan Islam.
“Seorang tokoh yang bersih, walaupun hanya pada zahir. Ada pihak dalam Umno Sabah (turut) menyebut-nyebut nama bekas ketua menteri Salleh Said Keruak sekali lagi,” katanya kepada FMT.
Sekalipun begitu, Fauzi mengakui kekuatan hubungan Bung dengan rakyat Sabah pada peringkat akar umbi, terutamanya pengundi luar bandar. Beliau berkata, kelebihan ini mungkin dapat mengatasi liabiliti kes rasuah yang dihadapinya.
Bung dan isterinya diperintahkan membela diri pada November lepas berhubung penerimaan rasuah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Pada masa kesalahan itu didakwa dilakukan, Bung ialah pengerusi bukan eksekutif Felcra.
Pasangan itu dijadualkan mula membela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 18 Ogos.
Awal bulan ini, Umno Sabah mencadangkan Bung dijadikan ‘poster boy’ BN untuk PRN17. Pengerusi BN Zahid Hamidi bagaimanapun menolak cadangan itu kerana ia bukan masa yang sesuai untuk menentukan calon.
Menurut Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya, BN-PH perlu segera menoktahkan persoalan tentang imej tokoh mana yang akan ditampilkan dalam bahan promosi kempen.
“Sia-sia sahaja terus-menerus bahas soal calon ketua menteri jika pada akhirnya tewas dalam pilihan raya. Fokus utama mereka sepatutnya adalah untuk memastikan kemenangan di sebanyak mungkin kerusi,” katanya.
Bagaimanapun, Awang Azman berkata, tidak adil untuk menganggap Bung tidak sesuai, memandangkan beliau masih belum disabitkan kesalahan oleh mahkamah.
“Kekuatan Bung terletak pada peringkat akar umbi. Beliau antara segelintir pemimpin Umno Sabah yang masih Ada pengaruh tersendiri, terutamanya di kawasan luar bandar dan dalam kalangan jentera parti,” katanya.
“Majoriti penduduk Sabah juga tidak mudah terkesan dengan naratif atau pandangan yang disogokkan oleh media arus perdana mahupun media sosial. Politik Sabah sangat bersifat tempatan, amat bergantung pada hubungan peribadi, kerja lapangan, dan sokongan akar umbi yang sudah lama bertapak — semua ini ada pada Bung.”