Bekas timbalan pengarah JAS antara 2 didakwa buang bahan kimia

Bekas timbalan pengarah JAS antara 2 didakwa buang bahan kimia

Mereka yang juga pengarah sebuah syarikat itu mengaku tak salah letak bahan kimia di satu lokasi tanpa kebenaran ketua pengarah JAS.

seremban court
Dua pengarah syarikat termasuk bekas timbalan pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan buang bahan kimia secara haram di Port Dickson, tahun lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua pengarah syarikat termasuk bekas timbalan pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan membuang bahan kimia secara haram di satu lokasi di Port Dickson pada Oktober tahun lalu.

Bekas timbalan pengarah JAS negeri, S Sivanathiran, 62, dan Chan Kwai Soon, 47, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, mereka yang juga pengarah Nature Energy Products Sdn Bhd dan syarikat itu didakwa meletakkan buangan pelarut organik bukan terhalogen yang disenaraikan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan ketua pengarah JAS.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 14 Okt 2024, kira-kira jam 4.30 petang di Lot 11224, Mukim Jimah, Port Dickson.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34B(4) akta yang sama, yang memperuntukan penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM100,000 dan tidak melebihi RM10 juta, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya JAS, Nurliyana R Azmi kemudiannya mencadangkan kedua-dua orang kena saman (OKS) itu dikenakan ikat jamin sebanyak RM50,000 untuk setiap seorang.

Bagaimanapun, peguam Ramzani Idris dan Haresh Mahadevan membantah cadangan itu dan berkata tiada keperluan atau indikasi bahawa OKS tidak akan hadir ke mahkamah atau tidak memberi kerjasama.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 kepada Sivanathiran dan Chan serta mengarahkan mereka melaporkan diri di pejabat JAS setiap bulan dan tidak dibenarkan mengganggu saksi.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Julai depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.