Bayi 7 bulan maut, JKM arah taska henti operasi

Bayi 7 bulan maut, JKM arah taska henti operasi

Ketua Pengarahnya Che Murad Sayang Ramjan berkata arahan itu dikeluarkan sehingga selesai proses siasatan.

baby bayi
Terdahulu, polis mengesahkan kematian bayi lelaki tujuh bulan sebuah taska di Taman Danau Kota baru-baru ini, berpunca akibat tersedak susu.
PETALING JAYA:
Sebuah taska di Taman Danau Kota yang dikaitkan dengan kes kematian bayi lelaki tujuh bulan baru-baru ini, telah diarahkan menghentikan operasi.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Che Murad Sayang Ramjan, berkata taska berkenaan diarahkan menghentikan operasi sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Buat masa ini kerana berlaku kes kematian, taska berkenaan diarahkan untuk memberhentikan operasi sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya, menurut Harian Metro.

Terdahulu, polis mengesahkan kematian bayi terbabit di taska berkenaan disebabkan terdesak susu.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Wangsa Maju, Syahrul Anuar Abdul Wahab, berkata setakat ini tiada tangkapan dilakukan berhubung kes terbabit.

“Beberapa individu sudah diambil keterangan berhubung kes itu termasuk pemilik taska, pengasuh, ibu bapa bayi berkenaan serta pihak JKM bagi membantu siasatan.

“Siasatan kes itu sedang dijalankan Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) IPK Kuala Lumpur dalam semua aspek termasuk unsur kecuaian,” katanya ketika ditemui di IPD Wangsa Maju.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.