2 suspek kes simbah asid dibebas

2 suspek kes simbah asid dibebas

Polis berkata suspek lelaki dan wanita dibebaskan petang semalam sementara menunggu laporan Jabatan Kimia serta makmal forensik polis.

Ketua Polis Bachok Mohamad Ismail Jamaluddin berkata pihaknya sedang menjejaki seorang suspek. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Dua suspek dipercayai terbabit kes simbah asid seorang pengusaha spa di Bachok, Kelantan 17 Mei lalu dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Bachok, Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata suspek lelaki dan wanita itu dibebaskan petang semalam, manakala pihaknya sedang menjejaki seorang lagi suspek.

“Setakat ini, suspek belum dituduh, sebaliknya dibebaskan dengan jaminan polis dulu sementara menunggu laporan Jabatan Kimia dan makmal forensik polis,” katanya menurut Berita Harian.

Pada 17 Mei lalu, seorang pengusaha spa melecur teruk di bahu, belakang badan, lengan dan kaki selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dekat sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar.

Polis kemudian menahan seorang wanita 38 tahun dan seorang lelaki 45 tahun bekerja di sebuah kilang getah di Kuala Krai.

Semalam, mangsa dilaporkan terpaksa menjalani pembedahan keempat di badannya.

Suami mangsa, Muhammad Syahrul Ikhwan Seri Buana dipetik Bernama berkata, isterinya dimasukkan ke wad pembedahan kira-kira 6 petang Rabu dan beliau dimaklumkan doktor akan memeriksa semua bahagian terkena cecair dipercayai asid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.