
Bercakap pada forum ‘Defamation Law Reform: Revisiting the Defamation Act 1957’, Harmindar berkata tidak munasabah bagi kerajaan mengemukakan saman kerana memfitnah.
“Kerajaan tidak sepatutnya dibenar menyaman atas memfitnah.
“Saya tidak dapat memahami bagaimana kerajaan boleh sebagai pemerintah, namun menggunakan wang pembayar cukai untuk saman rakyatnya sendiri bagi membungkam kritikan mereka.
“Ia tidak masuk akal bagi saya,” katanya dalam forum yang dianjurkan di pejabat Badan Peguam.
Harmindar, yang bersara bulan lalu, memetik ‘kes luar biasa’ apabila kerajaan Sarawak dibenar kemuka saman ke atas individu.
Beliau merujuk keputusan bersejarah mahkamah atasan pada 26 Sept 2018, bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri boleh menyaman individu kerana memfitnah.
Penghakiman itu dibuat dalam kes rayuan melibatkan Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen dengan kerajaan Sarawak.
Harmindar berkata, begitu juga beberapa entiti lain terutama syarikat, perlu dilarang daripada memfailkan saman fitnah.
“Mungkin saya membawa pandangan kontroversi di sini, namun saya telah menyatakan dalam beberapa penghakiman saya bahawa saman fitnah seharusnya dihadkan kepada individu bukan syarikat, semata-mata kerana ketidakseimbangan kuasa antara syarikat dengan individu.
“Parti politik, persatuan, kerajaan, dan syarikat tidak patut dibenar saman atas fitnah,” katanya.
Tak guna mohon maaf
Harmindar juga berkata, perintah permohonan maaf dalam kes fitnah tidak membawa tujuan sebenar.
“Permohonan maaf tidak berguna jika ia tidak datang daripada hati, jadi mengapa masukkannya dalam undang-undang? Bukankah lebih mudah memerintahkan pembetulan. Permohonan maaf bukannya ada apa-apa,” katanya.
Bekas hakim itu berkata, beliau tidak bersetuju penganugerahan jumlah ganti rugi melampau dalam saman fitnah.
Katanya, mengikut undang-undang mengenai fitnah, keutamaan pihak penuntut adalah pembelaan maruah, bukan jumlah ganti rugi berlebihan.
“Dalam ‘Common Law’ sentiasa menumpukan kepada wang sebagai pampasan, tetapi dalam undang-undang fitnah agak berbeza kerana apa dituntut adalah pembelaan maruah.
“Apabila anda menang kes, anda dibela maruah, namun ada mahkamah beri sampai berjuta (ganti rugi); ini semua mengarut,” katanya.