
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Sultan Hassanal Bolkiah yang ditemani Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di pusat perubatan itu masih memerlukan pemantauan pasukan perubatan.
“Sehubungan itu, pihak pasukan perubatan menasihatkan agar baginda Tuanku tidak menerima sebarang pelawat buat masa ini kecuali daripada keluarga diraja Brunei demi memastikan proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar,” menurut kenyataan.
Kenyataan itu turut memaklumkan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama isteri Dr Wan Azizah Ismail telah menziarahi Sultan Brunei di IJN.
Dalam kenyataan sama, Anwar menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan kesihatan Sultan Hassanal Bolkiah.
“Semoga baginda Tuanku dikurniakan afiyah sesegera mungkin serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” katanya.
Sebelum ini, media bertanyakan keberadaan Sultan Brunei yang tidak kelihatan ketika Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China, petang semalam.
Perdana menteri mengesahkan Sultan Hassanal Bolkiah memilih untuk berehat di IJN kerana berasa letih.