Sarawak dikecuali keperluan tertentu dalam PDA

Sarawak dikecuali keperluan tertentu dalam PDA

Premier Abang Johari Openg berkata undang-undang persekutuan seperti Akta Bekalan Gas juga tidak terpakai di Sarawak.

abang johari openg
Premier Sarawak Abang Johari Openg, berkata Sarawak akan memastikan kejelasan dan kestabilan kawal selia untuk memudahkan pertumbuhan industri gas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perjanjian antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dalam deklarasi bersama mengecualikan negeri itu daripada keperluan tertentu di bawah Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974, kata Premier Abang Johari Openg.

Berucap di DUN Sarawak, Abang Johari berkata undang-undang persekutuan seperti Akta Bekalan Gas 1993 tidak terpakai di negeri itu.

“Dan Sarawak dikecualikan daripada keperluan dikenakan di bawah Seksyen 6(1) dan (3) PDA 1974 untuk mendapatkan kebenaran perdana menteri bagi menjalankan perniagaan pengagihan gas di Sarawak.

“Deklarasi bersama ini juga mengiktiraf kuasa eksekutif Sarawak terhadap pengagihan gas dan undang-undang yang mengawal pengagihan gas di Sarawak adalah Ordinan Pengagihan Gas 2016.

“Dengan deklarasi bersama ini, sebarang ketidakpastian berkaitan kawal selia telah dihapuskan,” katanya menurut Utusan Borneo.

Beliau berkata, dengan pengesahan kuasa perundangan dan eksekutif Sarawak ke atas pengagihan gas, Sarawak akan memastikan kejelasan dan kestabilan kawal selia untuk memudahkan pertumbuhan industri gas.

Katanya, kerajaan Sarawak akan melaksanakan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran gas dalam wilayahnya, penggunaan gas yang mampan oleh industri serta penghasilan tenaga bersih.

“Usaha-usaha ini akan menyediakan peluang pelaburan yang luas dalam aktiviti huluan, pertengahan dan hiliran untuk pelabur asing dan tempatan.”

Abang Johari berkata, peluang tersebut termasuk pembangunan tapak pemerangkapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon (CCUS) bagi merealisasikan potensi besar rizab gas yang terletak di perairan barat Sarawak, dalam usaha memastikan bekalan gas yang mencukupi bagi Hab Gas Rendah Karbon Kuching yang sedang dirancang.

Katanya, semua projek itu dijangka akan meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak sebanyak RM120 bilion dan mewujudkan 185,000 pekerjaan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) selaku agregator gas tunggal dan pengurus sumber akan memainkan peranan utama dalam menaik taraf dan memperluas infrastruktur pengagihan gas.

Katanya, ia bagi memastikan bekalan gas mencukupi bagi kegunaan industri dan domestik serta membangunkan tapak CCUS untuk menyokong keperluan industri di Hab Gas Rendah Karbon Kuching.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas kepimpinan beliau yang berwawasan serta komitmen beliau dalam menyelesaikan isu antara Petros dan Petronas.

“Pemeteraian deklarasi bersama yang telah ditandatangani pada 21 Mei 2025 merupakan bukti pengiktirafan kerajaan persekutuan terhadap aspirasi Sarawak serta hubungan erat antara Sarawak dan kerajaan persekutuan yang berlandaskan semangat persekutuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.