
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata tiada satu perkara pun dalam Perlembagaan menyatakan anggota Jemaah Menteri mesti memegang jawatan dalam parti.
“Maka apa yang dilakukan Rafizi ini lebih kepada kekecewaan dan tidak mencerminkan jiwa besar sebagai seorang pemimpin,” katanya kepada FMT.
Ketika mengumumkan perletakan jawatan menteri ekonomi, Rafizi berkata beliau menyertai politik untuk ‘membudayakan politik baharu’ berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, kekalahannya dalam pemilihan PKR pada 23 Mei lalu bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat daripada parti sendiri.
Surat perletakan jawatan sudah diserahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa 17 Jun.
Tawfik menyifatkan perletakan jawatan itu sebagai tindakan berani tetapi tidak bertanggungjawab.
“Negara kini berhadapan dengan pelbagai kemelut dunia dan sedang memulihkan ekonomi negara, tetapi tindakan Rafizi ini tidak mencerminkan beliau adalah pemimpin yang cekal untuk berkhidmat kepada negara,” katanya.
Rafizi mampu bina semula sokongan
Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035, Inisiatif Pendapatan Rakyat, Pangkalan Data Utama, dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura antara beberapa perkara yang digerakkan ketika Rafizi memegang portfolio ekonomi.
Meskipun dengan inisiatif sedemikian, pemilihan parti baru-baru ini menyaksikan Rafizi tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR di tangan Nurul Izzah Anwar, yang dilihat calon pilihan dengan sokongan lebih 200 daripada 222 PKR bahagian.
Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah percaya Rafizi akan mampu membina semula rangkaian sokongan menerusi NGO yang fokus pada isu dekat dengan rakyat.
“PKR perlu bersedia untuk peranan baharu Rafizi di luar Jemaah Menteri, di mana beliau boleh menjadi ‘suara rakyat’ yang berpengaruh,” katanya kepada FMT.
“Dengan sokongan rakyat lebih teguh, Rafizi mungkin boleh dilihat sebagai calon perdana menteri dalam tempoh 5-10 tahun akan datang.”
Beberapa jam selepas pengumuman Rafizi, Nik Nazmi Nik Ahmad turut meletak jawatan menteri sumber asli dan kelestarian alam kerana gagal mempertahankan jawatan naib presiden.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata surat letak jawatan sudah dihantar kepada Anwar, dan akan berkuat kuasa 4 Julai.