Keputusan akan maklum kemudian, kata PMO berkait pengunduran menteri

Keputusan akan maklum kemudian, kata PMO berkait pengunduran menteri

PMO turut meluluskan permohonan cuti Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

ANWAR IBRAHIM
PMO kata perdana menteri lulus permohonan cuti Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, yang hari ini umum letak jawatan.
PETALING JAYA:
Keputusan lanjut berkait pengunduran Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai anggota Jemaah Menteri akan dimaklumkan kemudian, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).

PMO mengesahkan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima surat pengunduran Rafizi dan Nik Nazmi, masing-masing memegang portfolio ekonomi dan sumber asli dan kelestarian alam.

Ia juga mengesahkan PMO menerima surat permohonan cuti daripada mereka, yang hari ini mengumumkan letak jawatan.

“Setelah meneliti permohonan tersebut, perdana menteri bersetuju meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan,” menurut kenyataan.

“Sebarang keputusan lanjut terkait perkara ini akan dimaklumkan kemudian oleh perdana menteri.”

Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan mereka awal hari ini, berikutan kekalahan mereka rentetan pemilihan PKR baru-baru ini.

Ketika mengumumkan perletakan jawatan menteri ekonomi, Rafizi berkata beliau menyertai politik untuk ‘membudayakan politik baharu’ berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, kekalahannya dalam pemilihan PKR pada 23 Mei lalu bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat daripada parti sendiri.

Surat perletakan jawatan sudah diserahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa 17 Jun.

Nik Nazmi menyusuli langkah Rafizi beberapa jam kemudian, berkuat kuasa 4 Julai.

Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing mempertahankan jawatan timbalan presiden dan naib presiden dalam pemilihan PKR baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.