Pastikan sinambungan dasar selepas Rafizi letak jawatan, kata kumpulan peniaga

Pastikan sinambungan dasar selepas Rafizi letak jawatan, kata kumpulan peniaga

Samenta beri amaran Malaysia berisiko terlepas satu lagi kitaran ekonomi sekiranya reformasi dalam RMK13 tak dilaksanakan.

rafizi ramli fmt 140324
Rafizi Ramli yang meletak jawatan sebagai menteri ekonomi hari ini berkata amanah terakhirnya adalah menyempurnakan Rancangan Malaysia Ke-13.
PETALING JAYA:
Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan mengekalkan kesinambungan dasar dan komited terhadap reformasi ekonomi jangka panjang susulan peletakan jawatan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Pengerusi Samenta, William Ng juga memberi amaran bahawa negara kehilangan satu lagi kitaran ekonomi sekiranya reformasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak dilindungi dan dilaksanakan sepenuhnya.

“RMK13 tidak sepatutnya dilihat sebagai visi seorang menteri. Ia adalah pelan induk negara yang lahir daripada rundingan menyeluruh dan keperluan yang mendesak,” kata Ng dalam satu kenyataan.

Katanya, Malaysia ketinggalan berbanding rakan-rakan Asia kerana kegagalan bertindak secara berani di dalam reformasi pendidikan, produktiviti dan daya saing perusahaan.

William Ng
William Ng.

Walaupun dokumen akhir RMK13 masih belum diumumkan, Katanya Samenta telah memberikan maklum balas dengan tumpuan utama kepada penyelesaian isu-isu berlarutan ini.

“Kami menghargai usaha Rafizi dan pasukan beliau di Kementerian Ekonomi yang mengambil pendekatan berasaskan data dan rundingan dalam merangka RMK13.

“Kami faham bahawa RMK13 bertujuan mengubah arah ekonomi ke arah produktiviti, pelaburan sektor swasta dan perubahan tingkah laku. Namun, kita juga mesti bersetuju bahawa tiada rancangan akan berjaya sekiranya tidak menangani isu asas yang terus menghalang kemajuan Malaysia,” katanya.

Ng menyenaraikan tiga kekangan utama terhadap daya saing Malaysia: sistem pendidikan yang lapuk dan gagal menyediakan graduan untuk pasaran kerja, produktiviti tenaga kerja yang rendah, dan halangan struktur terhadap pertumbuhan PKS.

“PKS mewakili 97% perniagaan dan menyumbang lebih 7 juta pekerjaan di Malaysia. Namun, hanya sebilangan kecil PKS yang berjaya menjadi juara serantau. RMK13 perlu menggariskan laluan yang jelas untuk pertumbuhan perusahaan kita,” katanya.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi negara bukan sahaja bergantung kepada dasar yang baik, tetapi juga kemahuan politik untuk menyelesaikan cabaran struktur yang mendalam.

Katanya, kerajaan juga perlu menghentikan pemberian dana atas dasar aktiviti semata-mata.

“Insentif mesti dikaitkan dengan metrik prestasi sama ada dari segi peningkatan produktiviti, pertumbuhan eksport atau pengurangan karbon, misalnya. Jika tidak, semua jelajah dan input yang kami berikan dari pihak industri akan menjadi sia-sia.

“RMK13 mungkin merupakan peluang terakhir kita untuk benar-benar menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu oleh inovasi. Kita tidak mampu lagi mengulang semula cabaran yang sama setiap lima tahun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.