Microsoft lancar rantau awan pertama di Malaysia

Microsoft lancar rantau awan pertama di Malaysia

Rantau Awan Barat di Kuala Lumpur Raya sedia prasarana pusat data AI bertaraf dunia, kata Scott Guthrie.

microsoft
Rantau awan baharu di Malaysia itu akan beri pelanggan akses kepada perkhidmatan lanjutan dalam produktiviti, analitis data, keselamatan siber, pengkomputeran dan storan, kata Microsoft. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Microsoft mengumumkan ketersediaan umum Rantau Awan Barat (West Cloud) Malaysia yang dilancarkan sebagai sebahagian pelaburan USD2.2 bilion di negara ini.

Naib Presiden Eksekutif Awan dan Kecerdasan Buatan (AI) Microsoft Scott Guthrie berkata, rantau awan baharu yang terletak di Kuala Lumpur Raya (Greater Kuala Lumpur) akan menyediakan infrastruktur pusat data kecerdasan buatan (AI) bertaraf dunia dan membolehkan organisasi mempercepatkan inovasi dengan selamat – menyokong masa depan yang inklusif, mampan dan sedia AI.

“Kami menyediakan asas digital yang kritikal untuk Malaysia menjadi hab AI serantau, membolehkan inovasi selamat dan hiperskala, sejajar dengan matlamat negara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Microsoft AI Tour hari ini.

“Rantau awan baharu ini akan menampilkan tiga zon ketersediaan untuk ketersediaan tinggi dan ‘geo-redundancy’ serta menyediakan ‘in-country data residency’ (menyimpan dan memproses data dalam lokasi tertentu) dengan mematuhi rangka kerja kawal selia tempatan dan antarabangsa.”

‘Geo-redundancy’ bermaksud mempunyai berbilang pusat data atau lokasi pelayan yang berjauhan secara geografi antara satu sama lain, mengekalkan data sama dan boleh mengambil alih fungsi lokasi utama dengan lancar jika ia gagal berfungsi.

Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam ucapan yang dirakam berkata, Rantau Awan Barat Malaysia itu memberi peluang kepada negara untuk meningkatkan lagi rantaian nilai dengan memanfaatkan teknologi digital dan AI yang canggih.

“Bersama-sama … menerusi pendekatan ‘whole-of-nation’ (keseluruhan negara), marilah kita merebut peluang ini untuk melonjak ke hadapan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital dan AI,” katanya.

Sementara itu, Microsoft dalam kenyataan berkata, rantau baharu itu juga akan memberikan pelanggan akses kepada perkhidmatan lanjutan dalam produktiviti, analitis data, keselamatan siber, pengkomputeran dan storan.

Ini termasuk Microsoft Azure dan Microsoft 365 dan suite aplikasi perniagaan Microsoft yang akan tersedia tidak lama lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.