Lantik teknokrat jadi menteri ekonomi, saran pakar

Lantik teknokrat jadi menteri ekonomi, saran pakar

Geoffrey Williams kata jawatan itu memerlukan kepakaran teknikal, memandangkan fungsi kementerian adalah merangka dasar.

Amir Hamzah n Nurhisham Hussein
Geoffrey Williams kata jika Kementerian Ekonomi diketuai oleh ahli politik yang berkarisma dan bercita-cita tinggi, ia akan digunakan untuk mendorong agenda kerjaya berbanding pembaharuan jangka panjang.
PETALING JAYA:
Jawatan menteri ekonomi harus diisi oleh seorang teknokrat dan bukannya ahli politik kerjaya apabila peletakan jawatan Rafizi Ramli berkuat kuasa pada 17 Jun, kata pakar ekonomi.

Bagi Geoffrey Williams, menteri ekonomi seharusnya dapat memberikan wawasan ekonomi secara teknikal memandangkan kementeriannya bertanggungjawab merangka dasar.

“Mereka perlu pandai kenal pasti keutamaan reformasi yang strategik dan mendorong keperluan untuk melakukan pembaharuan.

“Mereka juga perlu kawal selia reka bentuk dasar-dasar berkaitan, dan memastikan ia boleh dilaksanakan,” katanya kepada FMT.

Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri ekonomi awal hari ini, berikutan beliau tidak lagi memegang jawatan timbalan presiden PKR rentetan pemilihan parti baru-baru ini.

Williams berkata menteri ekonomi masa depan tidak seharusnya “terbenam dalam politik”, kerana ia akan menyebabkan kementeriannya gagal melaksanakan fungsinya.

“Jika ia diketuai oleh ahli politik yang berkarisma dan bercita-cita tinggi, ia akan digunakan untuk membantu agenda kerjaya dan bukannya reformasi jangka panjang.

“Ini akan merosakkan proses reka bentuk dasar dan kredibiliti kerajaan, kerana semua pembaharuan akan didorong oleh agenda peribadi dan politik,” katanya.

Williams berkata pelantikan Amir Hamzah Azizan sebagai menteri kewangan II adalah contoh pemimpin teknokrat yang kuat dan lazimnya tidak berpolitik.

Beliau mencadangkan Nurhisham Hussein, pengarah kanan ekonomi dan kewangan di Pejabat Perdana Menteri, akan menjadi calon yang ideal.

“Beliau mempunyai latar belakang ekonomi yang kukuh dengan pengetahuan terperinci tentang pelaksanaan dasar dan cara mengatasi halangan pentadbiran,” katanya.

Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata melantik teknokrat seperti Amir memerlukan mereka dilantik sebagai senator terlebih dahulu.

“Saya tidak pasti sama ada terdapat kekosongan jawatan senator kecuali (menteri pelaburan, perdagangan dan industri) Tengku Zafrul Aziz, kerana penggal Senat beliau akan berakhir pada Disember,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.