Henti anjur program normalisasi LGBTQ, kata menteri agama

Henti anjur program normalisasi LGBTQ, kata menteri agama

Mohd Na’im Mokhtar ulas penganjuran 'Pride Month' yang tular di media sosial akan dianjur bulan depan walaupun ia bersifat tertutup.

MOHD NA’IM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata kerajaan menolak sebarang bentuk naturalisasi budaya LGBTQ, sama ada halus atau terbuka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri hal ehwal agama menasihatkan penganjur yang berhasrat meraikan ‘Pride Month’ bulan depan supaya menghentikan hasrat mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Na’im Mokhtar, menegaskan kerajaan menolak sebarang bentuk naturalisasi budaya songsang seperti LGBTQ sama ada secara halus atau terbuka.

Beliau berkata demikian mengulas program bertemakan ‘Pride Care: Queer Stories & Sexual Health Awareness’ didakwa mahu dianjurkan sayap sebuah parti politik, pada 21 Jun ini, yang tular di media sosial.

“Tindakan penganjuran program sebegini, walaupun bersifat tertutup, jelas mencabar norma masyarakat serta nilai agama yang dianuti majoriti rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Na’im menyarankan pihak berkuasa termasuk polis segera menyiasat penganjuran program berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya jika wujud sebarang pelanggaran undang-undang.

Jelasnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama negeri bersedia memainkan peranan penguatkuasaan, khususnya jika melibatkan penyertaan umat Islam.

“Pada masa yang sama, saya menyeru kepada semua pihak untuk bersama mempertahankan struktur sosial dan moral masyarakat kita daripada sebarang anasir yang boleh merosakkan akidah, akhlak dan keharmonian negara,” katanya.

Na’im berkata, kerajaan Madani akan terus menjunjung prinsip Maqasid Syariah dalam tadbir urus negara demi memelihara agama, akhlak, dan maruah umat.

“Budaya songsang tidak akan pernah menjadi norma di bumi Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.