Firma audit besar subahat dalam skandal kewangan, kata Anwar

Firma audit besar subahat dalam skandal kewangan, kata Anwar

Perdana menteri beri contoh skandal 1MDB, yang membabitkan firma antarabangsa seperti Goldman Sachs.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, fokus terhadap tadbir urus dan audit yang baik sepatutnya lebih daripada hanya untuk tarik pelaburan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, firma-firma audit terkemuka kadangkala turut bersubahat dalam skandal kewangan, mengambil contoh kes 1MDB.

Tanpa menamakan mana-mana juruaudit secara khusus, beliau berkata, tiada juruaudit ‘terkecuali sepenuhnya daripada menjadi sasaran’.

“Jika kita lihat pada (kes) 1MDB, (akan nampak) kesubahatan firma-firma audit besar,” katanya pada majlis penutupan Persidangan Juruaudit Asean 2025 hari ini.

Skandal 1MDB, yang digelar oleh pihak berkuasa AS sebagai kes kleptokrasi terbesar pernah berlaku, menyaksikan lebih USD4 bilion diselewengkan daripada cabang pelaburan negara itu.

Pada 2023, Anwar dilaporkan berkata, skandal itu tidak akan berlaku jika bukan kerana ‘kesubahatan’ institusi kewangan antarabangsa, termasuk Goldman Sachs

Dalam ucapannya hari ini, Anwar berkata, fokus terhadap tadbir urus dan audit yang baik sepatutnya lebih daripada hanya untuk menarik pelaburan

“Bagi saya, perkara itu (audit) penting, tetapi bukan penentu utama,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkasakan institusi audit bagi memastikan akauntabiliti yang sebenar.

“Justeru, pada hemat saya, amatlah penting usaha memperkasa institusi audit, agar ia bebas bertindak dan menelusuri jejak akauntabiliti ke mana saja pun,” katanya.

Merujuk pengalamannya sebagai ketua kerajaan, Anwar berkata, beliau tiada niat campur tangan dalam proses pengauditan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.