2 sindiket dadah tumpas di Johor

2 sindiket dadah tumpas di Johor

Dua sindiket pengedaran dadah tumpas susulan serbuan polis di Johor Bahru dan Pontian minggu lepas.

ketua polis johor m kumar
Ketua Polis Johor M Kumar mengumumkan kejayaan serbuan minggu lepas yang menyaksikan dua sindiket dadah tumpas. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tujuh individu serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.23 juta dalam dua serbuan berasingan di Jalan Skudai Lama pada 20 dan 21 Mei lepas.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata semua yang ditahan terdiri daripada lima lelaki tempatan dan dua wanita warga asing berusia antara 29 hingga 54 tahun.

Modus operandi sindiket yang dipercayai aktif sejak Januari tahun lepas itu adalah dengan menggunakan aplikasi WeChat untuk berurus niaga.

“Pelbagai jenis dadah dijumpai di dalam sebuah kereta dan sebuah rumah teres di sini, yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah.

“Secara keseluruhan dadah bernilai RM1.23 juta dirampas iaitu 7.08 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 1.37kg heroin, 139.34 gram (g) ketamin, 123.10g syabu dan 127 pil Erimin 5. Semuanya hasil pemeriksaan di dalam rumah itu,” katanya pada sidang media.

Polis turut menyita tiga kereta, dua motosikal, wang tunai RM9,320 dan pelbagai barangan kemas bernilai RM32,453.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen.

Dalam kes berlainan, polis menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah di Pontian pada 21 Mei lepas.

Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan bersama pelbagai jenis dadah seberat 6.46 kilogram bernilai RM1.07 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan.

“Kita masih mencari ahli sindiket lain dalam kumpulan ini. Kita percaya ada lagi ahli yang terlibat dalam kumpulan ini aktif sejak Mac 2025,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.