
Bagaimanapun, Rosdi Pilus, 50, memgaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, Rosdi didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak perolehan perkhidmatan penginapan, makan dan minum untuk syarikat milik isterinya bernilai RM19,990.
Bagi pertuduhan kedua, Rosdi didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak perolehan perkhidmatan Program Hari Sukan Negara 2022 peringkat Negeri Sembilan berjumlah RM5,000.
Rosdi didakwa melakukan kesalahan pertama pada 18 Nov 2021 dan kesalahan kedua pada 23 Feb 2022 di Pejabat Belia dan Sukan Negeri Sembilan di Seremban.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Zainab Yahaya menawarkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan tetapi peguam Wajih Zakwan Hanif memohon jaminan paling minimum kerana jumlah yang dicadangkan di luar kemampuan tertuduh dan penjaminnya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 7 Julai depan.