Muktamad rakan gabungan baru putus jumlah kerusi, Nurul Izzah diberitahu

Muktamad rakan gabungan baru putus jumlah kerusi, Nurul Izzah diberitahu

PKR Sabah sasar tanding 10 hingga 14 DUN namun jika kerjasama libat GRS jumlah minimum 13 kerusi dinyatakan Nurul Izzah Anwar agak besar.

Izzah Anwar Razeef Rakimin
Nurul Izzah Anwar berkata PKR sasar tanding minimum 13 kerusi PRN Sabah namun Razeef Rakimin menyatakan pihaknya tunggu keputusan muktamad mengenai rakan gabungan baharu sebelum ia diputuskan.
PETALING JAYA:
PKR Sabah hanya dapat menentukan jumlah kerusi akan ditandingi pada PRN selepas Pakatan Harapan dan Barisan Nasional memuktamadkan rakan gabungan, kata Ketua Penerangan Razeef Rakimin.

Komen itu menyusul kenyataan Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang parti menyasarkan bertanding minimum 13 kerusi pada PRN Sabah.

Ketika berucap dalam sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di Johor Bahru Sabtu lalu, Nurul Izzah berkata bagi memastikan sasaran itu Presiden Anwar Ibrahim diharap dapat berunding dengan komponen PH dan gabungan parti akan bekerjasama dalam pilihan raya itu.

Razeef berkata, setakat ini rundingan bersama PH berada di fasa akhir dan dijangka selesai hujung bulan ini.

“Bab jentera dah selesai awal, sekarang jumlah pembahagian kerusi. Jentera kita akan bagi sepenuh tenaga, bukan sahaja membantu calon PH. Kalau BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding di sana, kami akan bantu sebaik mungkin,” katanya kepada FMT.

Pada 9 Mei lalu Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengumumkan BN-PH akan kerjasama bagi menghadapi PRN Sabah ke-17.

Menyusul kenyataan itu, Ketua Menteri Hajiji Noor berkata GRS bersedia bertanding secara solo jika BN dan PH memuktamadkan keputusan bekerjasama.

Pada 11 Mei, Anwar mahu kerjasama menjelang PRN itu turut melibatkan GRS bersama PH dan BN.

Beliau yang juga pengerusi PH berkata usaha meluas ke arah itu sedang berjalan menerusi perbincangan dengan Hajiji yang mengetuai GRS.

Hajiji dalam kenyataan balas berkata keputusan berhubung PRN akan dirujuk kepada ahli Majlis Tertinggi GRS.

Sementara itu, Razeef berkata pihaknya menyasarkan bertanding 10 hingga 14 DUN, namun jika kerjasama melibatkan GRS, jumlah 13 kerusi dinyatakan Nurul Izzah agak besar.

Justeru, beliau berkata pihaknya menunggu keputusan muktamad mengenai rakan gabungan baharu sebelum jumlah kerusi diputuskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.