
KDN berkata arahan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 itu berkuat kuasa 15, 16 dan 17 April lalu.
Tujuh terbitan terbabit ialah Love, Theoretically oleh Ali Hazelwood; Tuan Ziyad: Forbidden Love (Bellesa); Darlingku Mr Cold Mafia (Nur Firsha); Mischievous Killer (Aira Syuhairah); Kougar 2 (Shaz Johar); The American Roommate Experiment (Elena Armas).
“Kesemua terbitan terbabit dikenakan tindakan mungkin memudaratkan kemoralan mengikut Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini),” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, satu lagi terbitan dikenakan tindakan adalah buku Suhuf Abraham melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) kerana mungkin memudaratkan ketenteraman awam.
KDN menjelaskan Perintah Larangan di bawah Akta 301 adalah satu mekanisme kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan berlaku.
Katanya, mengikut subseksyen 7(1) Akta 301 segala pencetakan, dan pengedaran atau pemilikan hasil terbitan yang disenaraikan dalam Perintah Larangan dilarang secara mutlak di Malaysia.
“Mana-mana orang yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikan adalah satu kesalahan.
“Apabila disabitkan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.