
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata pihak berkuasa termasuk majlis agama Islam negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas dengan menarik semula sijil terbabit sekiranya didapati melanggar peraturan.
“Pensijilan halal ini diberikan untuk memastikan masyarakat mematuhi dari segi syarak.
“Majlis yang bertentangan dengan agama (seperti pesta arak), ia membawa kepada tindakan yang perlu diambil oleh majlis agama Islam.
“Saya harap semua (termasuk hotel mempunyai sijil halal) menghormati budaya adat dan agama di negara ini sebelum tindakan tegas diambil termasuk menarik semula sijil halal mereka,” katanya.
Beliau ditemui media selepas menghadiri Majlis Perasmian Pavilion Al-Falah dan Pelancaran Buku Baharu Agensi Pengurusan Hal Ehwal Agama di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di WTC.
Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) sebelum ini dilaporkan menarik sijil halal dua hotel lima bintang di Banda Hilir yang menganjurkan ‘parti arak’ dua minggu lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Rahmad Mariman, berkata ia selepas serbuan mendapati peralatan dapur dipersijilkan halal turut digunakan dalam majlis membabitkan alkohol itu.
Menurutnya, sijil halal itu ditarik serta-merta selepas pemantauan mendapati bekas alkohol digunakan bersama peralatan dapur yang sepatutnya hanya untuk penyediaan makanan halal.