
Hisommudin Bakar dan Azmi Hassan berkata, walaupun tidak dinafikan sebilangan kecil penyokong tegar Rafizi mungkin mengambil pendirian berkecuali atau menjadi ahli pasif, jumlahnya dipercayai sangat kecil dan tidak cukup untuk menjejaskan kesiapsiagaan jentera PKR menjelang PRU16.

Mereka turut berpandangan, seruan Nurul Izzah Anwar supaya penyokong Rafizi kembali bertaut dan bersamanya membina kekuatan parti disifatkan ikhtiar untuk menyatukan semula kem dalam PKR yang terkesan akibat pertembungan dalaman ketika pemilihan 23 Mei lalu.
“Ia satu usaha rekonsiliasi politik yang wajar, bagi memulihkan solidariti dalam kalangan anggota PKR,” kata Hisommudin, pengarah eksekutif Ilham Centre, merujuk surat terbuka Nurul Izzah kepada semua ahli parti termasuk rakannya Rafizi, yang kalah dalam perebutan jawatan timbalan presiden.
Kelmarin, Nurul Izzah mengajak pengundinya dan Rafizi membina kembali kekuatan parti ketika Presiden Anwar Ibrahim perlu menumpukan usaha mengemudi negara dalam era penuh ketidaktentuan.
Nurul Izzah berkata, semua ahli perlu disatukan jika ada keretakan dan didekatkan sekiranya wujud kerenggangan disebabkan pemilihan Jumaat lalu.

Azmi, felo Majlis Profesor Negara pula berkata Rafizi tidak mungkin keluar parti kerana cara politik Ahli Parlimen Pandan itu lebih sesuai dalam PKR seperti gaya Khairy Jamaluddin dalam Umno.
Katanya, sekali pun Rafizi kecewa dengan keputusan pilihan akar umbi, beliau tidak boleh melakukan kesilapan dengan keluar parti dan membawa penyokongnya, kerana hanya akan memburukkan lagi masa depan politik menteri ekonomi itu.
“Keluar parti hanya akan membuatkan Rafizi terkontang-kanting seperti KJ (Khairy),” katanya, berpandangan hanya seorang saja yang mampu memujuk Rafizi daripada terus ‘merajuk’ iaitu Saifuddin Nasution Ismail.
“Nurul Izzah tiada aura dan keupayaan untuk memujuk Rafizi, presiden (Anwar) sendiri pun tak mampu tetapi orang paling tepat adalah Saifuddin kerana dianggap paling neutral.”
Penilaian jujur
Sementara itu, Hisommudin berkata bagi memastikan kelangsungan PKR pasca pemilihan, parti pimpinan perdana menteri perlu membuat penilaian jujur terhadap sebarang hakisan sokongan khususnya dalam kalangan pengundi tegar.
“Parti mesti membina naratif balas yang konstruktif untuk menangani persepsi negatif, terutama isu nepotisme yang kian diperdebatkan dalam ruang awam,”katanya.
Bagi menghakis persepsi ‘parti anak beranak’, Nurul Izzah perlu membuktikan beliau memiliki kompetensi dan daya kepimpinan setara atau lebih baik berbanding pesaingnya, Rafizi.
“Dengan reputasi cemerlang saja mampu menutup mulut pengkritik seterusnya membuktikan beliau memang layak berada di kerusi timbalan presiden bukan kerana ‘berbintikan’ Anwar,” katanya.
Semalam, Naib Presiden PKR Aminuddin Harun percaya penyokong kuat Rafizi tidak akan keluar parti selepas Ahli Parlimen Pandan itu kalah pemilihan jawatan timbalan presiden.
Menteri besar Negeri Sembilan yang mengakui beliau sebahagian ‘orang kuat’ Rafizi percaya kekecewaan dilalui sebahagian kelompok tidak akan berpanjangan sehingga menjejaskan kestabilan parti, selain yakin situasi dalam PKR akan pulih selepas ini.