Ganti rugi RM550,000 kepada Lim, timbalan presiden Gerakan dapat tangguh sementara

Ganti rugi RM550,000 kepada Lim, timbalan presiden Gerakan dapat tangguh sementara

Gerakan Pulau Pinang berjaya kumpul RM200,000 selain wang pendahuluan RM300,000 daripada individu dermawan membantu Oh Tong Keong dalam saman fitnah Lim Guan Eng.

oh tong keong
Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong failkan rayuan 21 Mei untuk mencabar penghakiman Mahkamah Tinggi di George Town pada 7 Mei. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong diberikan penangguhan sementara pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan bayaran ganti rugi kepada Lim Guan Eng kerana secara salah menuduh bekas menteri kewangan itu membantu penganjur konsert mendapatkan pengecualian cukai.

Pada Ahad, FMT melaporkan Oh memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan pada 22 Mei, sementara menunggu pelupusan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang mana menganugerahkan Lim ganti rugi RM550,000.

Gerakan Pulau Pinang hari ini berkata, pihaknya berjaya mengumpul RM200,000 bagi membantu Oh membayar ganti rugi berkenaan.

“Selain itu, beberapa individu dermawan tampil untuk mendahulukan sebanyak RM300,000, membolehkan kami mengumpulkan sepenuhnya jumlah dana pampasan sebanyak RM500,000 bagi menyokong rayuan saudara Oh Tong Keong,” katanya dalam catatan di Facebook.

Gerakan negeri itu berkata pihaknya akan berterusan mengumpul derma bagi membayar balik wang pendahuluan tersebut.

Peguam Oh, Chai Ko Thing, minggu lalu berkata rayuan difailkan pada 21 Mei.

Pada 7 Mei, Mahkamah Tinggi menganugerahkan Lim ganti rugi RM550,000 selepas mendapati Oh secara salah menuduhnya membantu seorang penganjur konsert mendapatkan pengecualian cukai, ketika beliau menjadi menteri kewangan.

Hakim Kenneth St James mendapati Oh memfitnah Lim pada sidang media 25 Sept 2019, dan menerusi siaran media dihantar melalui emel rasmi Gerakan Pulau Pinang. Kenyataan itu kemudian disiarkan China Press, yang mana turut
didapati bertanggungjawab.

Oh mempersoalkan kenapa Lim memberikan pengecualian cukai kepada WGW Entertainment Sdn Bhd dan pemiliknya, Hendrik Huang, melibatkan konsert Mandopop di Spice Arena.

Hakim mendapati Oh tidak mempunyai asas mendukung dakwaannya dan tiada keterangan bahawa Lim mengetahui Huang atau membenarkan sebarang keistimewaan cukai.

Katanya, walaupun kenyataan Oh disampaikan dalam bentuk soalan, ia didapati bersifat fitnah dan tidak layak dianggap sebagai komen berpatutan.

Oh diperintah menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat kepada Lim di China Press, dalam talian, dan secara bercetak. Beliau juga dihalang mengulangi dakwaan tersebut.

China Press diperintah membayar ganti rugi RM150,000, kos sebanyak RM80,000, dan faedah pada kadar 5% setahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.