Asean tindak sepakat tangani isu tarif

Asean tindak sepakat tangani isu tarif

Negara anggota bebas adakan rundingan sendiri, tetapi jangan sampai rugikan anggota lain, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

SIDANG MEDIA-ANWAR IBRAHIM-ASEAN 46
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media selepas berakhirnya Sidang Kemuncak Asean ke-46 dan sidang kemuncak berkaitan di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Asean mencapai kata sepakat bahawa sebarang keputusan mengenai tarif mestilah berdasarkan konsensus bersama bagi mengelakkan tindakan yang boleh menjejaskan negara-negara anggota, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Bercakap pada sidang media selepas Sidang Kemuncak Asean ke-46 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan berakhir hari ini, Anwar berkata, wujud keperluan untuk melindungi kepentingan kira-kira 660 juta penduduk di seluruh rantau ini.

“Mengenai tarif (Amerika Syarikat), dalam pada meneruskan rundingan dua hala, kesepakatan yang dicapai adalah perlu ada suatu bentuk persefahaman dalam kalangan (negara anggota) Asean, dan sebarang keputusan tidak seharusnya dibuat sehingga merugikan negara-negara lain,” katanya.

Pada 3 April lepas, Presiden AS Donald Trump mengumumkan satu siri tarif baharu yang secara langsung meningkatkan duti import ke atas barangan dari Asia Tenggara, dengan Kemboja, Laos dan Vietnam paling teruk terjejas. Malaysia dikenakan tarif 24%, manakala Singapura dikenakan kadar terendah, iaitu 10%.

Walaupun berdepan tamparan itu, menteri-menteri ekonomi Asean bersetuju untuk tidak mengenakan langkah-langkah tindak balas, sebaliknya memilih mengusahakan dialog yang ‘jujur dan membina’ dengan Washington untuk menangani isu-isu perdagangan.

Anwar turut menyanggah dakwaan bahawa Asean semakin cenderung ke arah China, dengan menyatakan pandangan sedemikian memberi gambaran yang salah mengenai dasar luar blok itu yang seimbang.

Katanya, kesepakatan yang dicapai dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean di Langkawi adalah untuk terus mengadakan libat urus dengan AS dan China, di samping negara-negara lain.

Beliau menekankan bahawa beliau telah menulis kepada Trump, mencadangkan penganjuran Sidang Kemuncak Asean-AS.

“Sekiranya esok saya terima surat daripada Presiden Trump mengatakan beliau bersetuju, kita akan adakan sidang kemuncak pada Jun atau beberapa bulan lagi. Tiada masalah,” katanya.

Sikap tidak menolak ini, katanya, adalah kerana Asean meletakkan kebajikan rakyat dan kepentingan ekonomi serantau sebagai teras dalam hubungan luarnya.

“Jadi, jika ini bermakna bekerjasama dengan China, ya, kita akan lakukan. Atau dengan AS, ya, kita perlu (berbuat demikian),” katanya.

Anwar turut mengumumkan bahawa Timor-Leste dijangka menjadi anggota penuh Asean menjelang Oktober ini.

“Keputusannya adalah bersetuju bahawa (Timor-Leste) akan menjadi anggota Asean pada sidang berikutnya, tetapi tertakluk pada satu atau dua tindakan atau pembaharuan yang perlu diambil, terutamanya bagi memenuhi satu atau dua tonggak ekonomi,” katanya menambah, blok itu akan melakukan ‘apa sahaja yang perlu’ untuk merealisasikan perkara itu.

Timor-Leste pertama kali memohon keanggotaan Asean pada 2011. Satu pelan hala tuju bagi penyertaannya telah diluluskan pada Mei 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.