Asean-GCC-China mampu bina masa depan lebih terhubung, makmur, kata Anwar

Asean-GCC-China mampu bina masa depan lebih terhubung, makmur, kata Anwar

Berucap pada sidang kemuncak trilateral pertama yang bersejarah, perdana menteri lihat potensi ekonomi besar dalam gabungan pasaran tiga rantau itu.

Pemimpin Asean, GCC, dan China sepentas dalam Sidang Kemuncak Asean-GCC-China pertama yang bersejarah di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yakin kerjasama antara Asean, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan China mampu membentuk masa depan ‘lebih terhubung, berdaya tahan, dan makmur’ untuk generasi akan datang.

Berucap pada perasmian Sidang Kemuncak Asean-GCC-China, Anwar berkata wujud peluang meluas dari tiga blok itu yang berkongsi Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan hampir USD24.87 trilion dan populasi melebihi 2.1 bilion.

“Bidangan kolektif berkenaan menawarkan peluang meluas untuk sinergi pasaran kita, memperdalam inovasi, dan menggalakkan pelaburan rentas wilayah,” katanya dalam ucapan pembukaan sebagai pengerusi Asean.

Anwar juga menekankan setiap wilayah mempunyai kekuatan tersendiri yang saling melengkapi antara sama lain: Dengan peningkatan peranan GCC dalam perkhidmatan kewangan, kecerdasan buatan (AI), dan tenaga; China menerusi pertumbuhan transformasi ekonomi dan peneraju sektor teknologi; dan Asean antara rantau paling pesat membangun dan paling aman di dunia.

“Saya berharap sidang kemuncak ini akan menjadi bab baharu dalam perjalanan Asean ke arah keterlibatan ke arah luar, yang menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila rakan-rakan bekerjasama dengan saling menghormati dan berkongsi matlamat bersama,” katanya.

Pada 2023, KDNK Asean mencapai USD3.8 trilion, menjadikannya ekonomi kelima terbesar dunia.

Pada tahun sama, perdagangan Asean dan GCC berjumlah USD130.7 bilion, dengan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak USD390.2 juta.

China, kekal menjadi rakan dagang terbesar Asean dengan USD696.7 bilion dan FDI USD17.3 bilion, memaparkan hubungan sedia ada yang kukuh serta potensi besar belum diterokai.

Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah al-Khalid al-Sabah, yang juga presiden sesi semasa Majlis Tertinggi GCC menekankan kepentingan memuktamadkan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara GCC dan China.

Setakat hujung 2024, perundingan menunjukkan kemajuan signifikan, melibatkan 90% isu telah selesai.

“Kami juga menyeru supaya halangan menghadkan aliran eksport antara ketiga-tiga pihak dihapuskan, dan kami mengesahkan forum ekonomi antara kedua-dua pihak, iaitu GCC dan China,” katanya dalam ucapan pembukaan.

Perdana Menteri China yang terakhir berucap, turut menyuarakan harapan agar rundingan FTA antara Asean dan GCC disegerakan, selepas China baru-baru ini memuktamadkan perbincangan bersama Asean untuk memasukkan sektor baharu sedang berkembang, seperti ekonomi digital dan hijau dalam FTA yang dikemas kini.

“Jumlah populasi dan keluaran ekonomi gabungan negara Asean, China, dan negara GCC merangkumi kira-kira satu perempat dunia.

“Dengan menghubungkan sepenuhnya pasaran, kita pasti akan membuka potensi pembangunan lebih besar dan menjana ekonomi bidangan lebih ketara,” katanya.

Kemas kini FTA Asean-China antara pencapaian utama di bawah kepengerusian Malaysia, selain Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean dijangka dimuktamad akhir tahun ini.

Semalam, Malaysia dan GCC menandatangani memorandum persefahaman untuk memulakan rundingan rasmi FTA.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, berkata langkah itu kali pertama bagi Malaysia berurusan dengan GCC sebagai blok ekonomi tunggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.